BeritaLakon Layar

Hormati Ramadan, SENIMAN Minta Produksi Jaga Kebajikan Pelakon & Kru

Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) menggesa penggiat seni menyusun jadual kerja secara lebih berhemah sepanjang Ramadan bagi memberi ruang kepada kru dan pelakon beragama Islam menunaikan ibadah dengan sempurna.

Presidennya, Zed Zaidi, 45, berkata Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga, sebaliknya masa untuk memperhalusi adab, disiplin serta menjaga kebajikan dalam industri seni.

“Kalau boleh, waktu bekerja biarlah berpatutan supaya tidak mengganggu ibadat dan puasa mereka yang beragama Islam ketika menjalani penggambaran,” katanya.

Menurut Zed, penggambaran wajar dihabiskan lebih awal bagi memberi ruang kepada kru dan pelakon menambah amal ibadah, terutama pada bulan yang penuh keberkatan ini.

“Kita faham Ramadan adalah bulan mulia dan ramai mengambil peluang untuk menambah pahala. Jika boleh, habiskan penggambaran lebih awal supaya ada masa untuk beribadat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zed menegaskan penyediaan ruang solat serta kemudahan asas seperti tempat mengambil wuduk perlu diberi perhatian oleh syarikat produksi, khususnya jika penggambaran dilakukan pada waktu malam.

“Sekiranya penggambaran tidak dapat dielakkan, sediakan ruang dan kemudahan beribadat termasuk tempat solat yang sesuai untuk memudahkan solat terawih atau Subuh,” katanya lagi.

Zed turut menekankan soal kebajikan kru dan artis, khususnya berkaitan penyediaan juadah berbuka puasa yang mencukupi dan berkualiti.

“Apabila masuk waktu berbuka, penggambaran wajar dihentikan seketika. Jangan hanya sediakan kuih-muih, pastikan ada hidangan berat kerana mereka seharian berpuasa.

“Penggambaran dalam Ramadan sebenarnya lebih menjimatkan kos. Jadi gunakan penjimatan itu untuk kebajikan kru dan pelakon,” katanya.

Selain itu, Zed turut mengingatkan penggiat seni agar lebih menjaga tingkah laku serta penampilan, termasuk dalam perkongsian di media sosial sepanjang Ramadan.

“Aurat perlu dijaga, tutur kata perlu dipelihara dan elakkan kandungan yang mencolok mata. Hormatilah bulan Ramadan,” katanya.

Dalam masa sama, Zed turut mencadangkan konsep ‘cooling period’ diamalkan sebagai ruang bermuhasabah dan menyebarkan mesej positif kepada masyarakat.

“Kita ini artis dan sentiasa menjadi perhatian umum. Gunakan pengaruh untuk perkara baik dan elakkan perbalahan yang boleh menjejaskan keharmonian industri dan negara,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Related Articles

Back to top button