Majlis Pernikahan Syed Saddiq & Bella Astillah Berlangsung Sebelum Akhir Tahun

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, 34, memberi bayangan majlis pernikahannya bersama Bella Astillah bakal berlangsung dalam masa beberapa bulan lagi, namun memilih untuk merahsiakan tarikh sebenar buat masa ini.
Menurut Syed Saddiq, perancangan ke arah hari bahagia itu sedang giat dilakukan oleh kedua-dua keluarga, meskipun mereka berdepan jadual kerja yang padat.
“Kami akan kongsikan bila tiba masa yang sesuai. Walaupun masing-masing sibuk, persiapan tetap berjalan seperti dirancang. Insya-Allah, dalam beberapa bulan lagi, sebelum hujung tahun ini,” katanya.
Tambahnya, soal tarikh pernikahan lazimnya dibincangkan dalam kalangan keluarga terdekat, namun dia memberi jaminan berita gembira itu akan diumumkan apabila segalanya sudah dimuktamadkan.
“Perkara seperti ini memang melibatkan keluarga. Tapi jangan risau, kami tidak akan sorok. Bila tiba masanya, kami akan kongsikan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata persiapan setakat ini berjalan lancar dan dia berharap segala urusan dipermudahkan sehingga hari pernikahan.
“Alhamdulillah, semuanya dalam keadaan baik. Bella adalah tunang saya dan saya mahu pastikan semuanya berjalan dengan lancar,” ungkapnya.
Dalam masa sama, Syed Saddiq mengakui kesibukan masing-masing sebenarnya menjadi satu proses pembelajaran buat mereka berdua dalam menyesuaikan diri sebelum melangkah ke alam perkahwinan.
“Kadang-kadang bila kedua-duanya sibuk bekerja, itu juga satu perkara yang baik. Kita belajar untuk cari keseimbangan dan membahagikan masa.
“Itu satu ujian untuk menjadikan kami pasangan yang lebih baik pada masa hadapan,” jelasnya.
Syed Saddiq turut menegaskan hasratnya untuk menjadi suami yang bertanggungjawab, selain menyokong kerjaya Bella yang aktif dalam bidang seni.
“Saya mahu jadi bakal suami yang baik. Kalau dia memilih untuk terus aktif sebagai penyanyi, pelakon dan duta, dalam masa sama keluarga tetap perlu dijaga.
“Itulah yang kami sedang pelajari dalam fasa menuju perkahwinan ini,” kongsinya lagi.



