Lelaki Dilanggar Kereta Gara-Gara Berhutang RM25
MARAH apabila hutangnya tidak dibayar tepat pada waktu yang dijanjikan, seorang lelaki di Kuching, Sarawak, bertindak nekad merempuh penghutang berkenaan dengan kereta yang dipandunya.
Lebih memburukkan keadaan, lelaki berkenaan turut melepaskan kemarahannya itu terhadap anak lelaki penghutang dengan bertindak memukulnya.
Memetik Oriental Daily News, kejadian itu berlaku sekitar pukul 11 pagi beberaoa hari lalu di kawasan perumahan di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce.
Sebaik tiba di rumah mangsa dengan menaiki Perodua Myvi putih untuk meminta kembali hutang RM25, suspek menemui anak lelaki mangsa berusia 10 tahun dan mula bertengkar dengannya.
Ketegangan memuncak dan difahamkan suspek secara fizikal menyerang kanak-kanak lelaki berkenaan.
Mangsa yang baru pulang ke rumah terlihat insiden tersebut dan bergegas membantu anaknya.
Suspek kemudian masuk ke dalam kenderaannya dan melanggar mangsa menyebabkan mangsa terjatuh. Kereta itu kemudiannya merempuh pagar sebuah rumah yang terletak berhampiran.
Suspek kemudian melarikan diri dari tempat kejadian dan meninggalkan kenderaannya di situ.
Mangsa yang cedera dihantar ke jabatan kecemasan Hospital Umum Sarawak untuk dirawat akibat patah kaki kiri berikutan serangan tersebut.
Tidak lama selepas polis dimaklumkan mengenai kejadian itu, mereka pergi ke hospital untuk mengumpul maklumat lanjut.
Sehingga kini, kes tersebut sedang disiasat dan pihak polis sedang berusaha untuk mencari sebab punca kejadian yang sebenarnya.