Hutang Makin Berkurangan, Shuib Bangkit Teruskan Perniagaan Baharu
Hutang yang ditanggung oleh pelawak dan usahawan, Shuib, 41, semakin berkurangan hasil rundingan dan kerjasama daripada pihak kerajaan.
Jelas Shuib, dia sentiasa berusaha termasuklah mengadakan beberapa rundingan dengan agensi dan bank terbabit bagi menyelesaikan beban yang dihadapi.
“Hutang itu sudah semakin berkurang. Saya percaya kalau mula berniaga dengan modal berjuta-juta, hutangnya pun berjuta juga.
“Sebahagian besar hutang datang daripada perniagaan keseluruhan. Saya ada beberapa bisnes, tetapi yang agak kritikal ialah jenama Bubble Bee.
“Memandangkan perniagaan sebelum ini agak besar, saya banyak berbincang dengan agensi kerajaan dan dapatkan nasihat daripada bank. Alhamdulillah, semua dipermudahkan,” katanya.
Sebelum ini, nama Shuib panas apabila dikaitkan dengan isu tunggakan cukai dan beberapa badan lain
Bapa kepada empat orang itu sebelum ini dikaitkan dengan isu tunggakan cukai Jabatan Kastam Diraja Malaysia selain isu Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Walaupun namanya ‘panas’, semua itu tidak langsung mematahkan semangatnya untuk terus bangkit dah meneroka dunia perniagaan seperti yang dicita-citakan.
“Satu per satu saya lihat bisnes kembali rancak. Harap momentum ini berkekalan.
Beginilah perjalanan seorang usahawan. Ada naik turun, jadi jangan risau. Kita lalui sahaja dan jangan berhenti.
“Saya percaya Allah beri rezeki yang baik, cuma saya sendiri perlu baiki kesilapan, jadi lebih fokus dan konsisten,” ujarnya pada majlis pembukaan Restoran Nasi Bakar Bangkit pada Sabtu.
Shuib nekad membuka cabang baharu menerusi jenama Nasi Bakar Bangkit yang mengetengahkan konsep makanan unik berasaskan nasi dibakar dalam daun pisang.
“Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan sejak dibuka dalam bulan Ramadan. Kami sendiri tidak jangka respons sebegini.
“Walaupun hujung minggu sedikit terjejas sebab ramai hadiri rumah terbuka, orang tetap datang. Pelanggan mula kenal Nasi Bakar Bangkit dan menu kami,” jelasnya.
Dia juga melantik anak ketiganya, Matin, sebagai duta produk berkenaan.
Nasi Bakar Bangkit menampilkan lebih 10 menu termasuk kombinasi sambal merah, sambal hijau serta ayam berbumbu yang menjadi pilihan ramai.