Lelaki Bunuh Bapa Akibat Tak Mampu Bayar Hutang Majlis Kahwin
Disebabkan hutang keliling pinggang, seorang pemuda tergamak membunuh bapanya!
Segalanya bermula apabila seorang lelaki berusia 22 tahun dari Pabean Cantikan, Surabaya di Indonesia didakwa memiliki hutang berjumlah 25 juta rupiah (RM7,800) yang masih belum dilunaskan kepada vendor majlis perkahwinannya.
Disebabkan hal itu, lelaki berkenaan menjual kenderaan jenis Toyota Fortuner milik bapanya dan wang tersebut digunakan untuk membayar hutang.
Pertengkaran mula berlaku apabila si bapa meminta lelaki itu untuk mendapatkan kembali kenderaan yang telah dijual.
Desakan si bapa berakhir tragedi dah lelaki itu dipercayai membunuh mangsa dan mayatnya ditinggalkan di tepi jalan di Jalan Raya Darmo Permai II, Sukomanunggal akhir minggu lalu.
Lebih memburukkan keadaan, pelaku cuba memperdaya pihak berkuasa dengan mendakwa bapanya meninggal dunia akibat kemalangan.
Hasil pemeriksaan polis mendapati kecederaan pada belakang kepala mangsa disebabkan oleh pukulan objek tumpul.
Pada hari sama, pasukan Jatanras Polrestabes Surabaya memberkas pelaku.
“Bapanya mendesak AUO mendapatkan semula kenderaan itu. Namun, ia berakhir tragedi kerana AUO tidak dapat mengawal kemarahannya setelah didesak berulang kali. Motif pembunuhan itu mungkin kerana sakit hati,” kata jurucakap polis, Aris Purwanto.
Menurutnya, AUO turut mereka cerita tentang kemalangan yang menimpa bapanya, namun hasil autopsi membuktikan mangsa hilang nyawa di tangan anaknya sendiri.