Hubungan Toksik, Meerqeen Angkat Kaki
Pelakon, Meerqeen, 24, mendedahkan pernah berada dalam sebuah hubungan percintaan yang toksik bersama bekas kekasihnya.
Kongsi pemilik nama lengkap Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam, dia hanya mengikut telunjuk gadis tersebut sehingga sanggup diherdik dan kepala dipijak demi cinta.
“Saya pernah berdepan situasi yang mana banyak bersabar dengan sikap orang yang kita sayang sampai sanggup diherdik, tapi saya tak marah walau kepala saya dipijak.
“Namun, lama-kelamaan kesabaran saya mula menipis kerana sudah sampai hadnya. Ramai lelaki ‘green flag’ yang sedia terima apa sahaja demi cinta,” katanya.
Ungkap pemenang tempat ketiga program Hero Remaja 2020/2021 itu lagi, selepas menyedari dirinya dipergunakan, dia lantas angkat kaki dan meninggalkan hubungan toksik itu.
“Saya sedar sebenarnya saya seperti dipergunakan dan ibarat hamba cinta oleh dia.
“Saya ambil keputusan untuk tinggalkan dia sebab saya rasa perangai seperti itu agak susah nak diubah,” jelasnya lagi.