Lelaki 50-an Termasuk Tukang Rumah Ditangkap Tidak Berpuasa
Baru-baru ini, kecoh di laman sosial mengenai penangkapan dua lelaki berusia sekitar 50-an yang didakwa tidak berpuasa pada bulan Ramadan.
Kegiatan dua individu berkenaan terbongkar ketika penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menjalankan serbuan menerusi Operasi Kesalahan Tidak Menghormati Ramadan minggu lalu.
Menurut laporan Berita Harian, salah seorang daripada mereka memberi alasan tidak sihat atau sakit untuk meneruskan ibadah puasa. Sementara itu, seorang lagi pula mendakwa dirinya tidak mampu berpuasa kerana melakukan kerja berat sebagai tukang rumah.
Difahamkan, kedua-dua mereka ditangkap tidak berpuasa di sebuah warung yang dikatakan milik peniaga bukan beragama Islam.
Selain itu, media dimaklukan juga yang disebabkan pintu belakang warung berkunci, pihak penguatkuasa JAIM terpaksa memasuki warung berkenaan menerusi tingkap.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, umat Islam yang tidak berpuasa tidak boleh makan di tempat awam ketika bulan Ramadan sungguhpun tidak sihat.
Hal Ini kerana, di bawah Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka (EKSNM) 1991: Kesalahan menjual makanan dan makan dalam bulan Ramadan.
Dalam pada itu, difahamkan juga yang individu yang ditangkap itu dikehendaki untuk hadir ke mahkamah untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, pihak JAIM difahamkan akan terus memantau sepanjang Ramadan ini berkaitan isu ini.
Foto: Utusan Malaysia