Kes Rasuah RM2.8 Juta, Zizie Izette Bebas Daripada Tiga Pertuduhan Bersubahat

Pelakon Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin daripada tiga pertuduhan bersubahat menerima rasuah berjumlah RM2.8 juta yang dikaitkan dengan pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad.
Keputusan itu dibuat Hakim Rosli Ahmad selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes yang dikemukakan pihak pendakwaan bagi ketiga-tiga pertuduhan.
Zizie Izette hadir ke mahkamah kira-kira pukul 8.30 pagi dengan mengenakan sut berwarna kelabu gelap dan dilihat tenang sepanjang prosiding berlangsung.
Terdahulu, pada 3 Mei 2019, pelakon berusia 48 tahun itu didakwa bersubahat dengan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin yang ketika itu merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad, menerima wang suapan berjumlah RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid.
Suapan itu didakwa sebagai balasan bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II supaya Felcra Berhad melaburkan RM150 juta dalam produk unit amanah Public Mutual Berhad.
Bagi pertuduhan kedua, Zizie didakwa bersubahat menerima wang tunai sebanyak RM262,500 daripada individu sama menerusi akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas namanya, bagi tujuan yang sama.
Dia turut berdepan pertuduhan ketiga membabitkan dakwaan menerima wang tunai RM337,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang juga didaftarkan atas namanya.
Bagaimanapun, selepas meneliti keseluruhan keterangan dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah memutuskan untuk melepaskan serta membebaskan Zizie Izette daripada ketiga-tiga pertuduhan berkenaan.



