Berita

Dua Stent & Bateri Akan Dimasukkan Dalam Badan Abon

Pelawak dan pelakon senior, Abon, 66, sekali lagi berdepan detik mencemaskan apabila diserang sakit jantung buat kali kedua pada Rabu lalu sehingga tidak sedarkan diri ketika berada di rumah.

Menurut isterinya, Fauziah Muksin, kejadian berlaku sekitar pukul 5.30 petang ketika mereka sedang berbual sebelum suaminya tiba-tiba rebah dan pengsan tanpa sebarang amaran.

“Kami sedang duduk berbual sekitar jam 5.30 petang, namun tiba-tiba dia macam tak sedarkan diri dan pengsan,” katanya.

Fauziah berkata, Abon kemudian dikejarkan ke sebuah klinik swasta berhampiran sebelum dipindahkan dengan ambulans ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM) untuk menerima rawatan lanjut.

Tambahnya, dia percaya suaminya terlalu memikirkan pelbagai perkara kebelakangan ini termasuk persiapan majlis perkahwinan anak sulung mereka, Nuratul Shahirah yang dijadual berlangsung pada 29 Ogos depan sehingga memberi kesan kepada tahap kesihatannya.

Fauziah berkongsi perkara itu ketika menerima kunjungan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez yang hadir menziarahi serta menyampaikan sumbangan kepada Abon.

Untuk rekod, Abon sebelum ini pernah dimasukkan ke HCTM pada 30 Jun lalu bagi menjalani prosedur memasukkan belon dan satu stent pada saluran jantungnya sebelum dibenarkan pulang ke rumah selepas hampir dua minggu menerima rawatan.

Berkongsi keadaan kesihatannya, Abon berkata dia sebenarnya masih sedar sepanjang kejadian itu berlaku, termasuk ketika dibawa ke klinik dan menaiki ambulans, namun tidak berupaya membuka mata atau memberikan sebarang reaksi.

Menurutnya, hasil pemeriksaan doktor mendapati dia masih memerlukan dua lagi stent pada saluran jantung selain pemasangan bateri jantung, namun kedua-dua prosedur itu tidak dapat dilakukan serentak bagi mengelakkan risiko terhadap fungsi buah pinggang.

Katanya, kos keseluruhan rawatan yang membabitkan pemasangan stent dianggarkan sekitar RM45,000, manakala pemasangan bateri jantung pula mencecah kira-kira RM40,000.

“Kos untuk pembedahan ini tinggi, tetapi saya dan isteri pernah bekerja dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) maka kosnya ditanggung oleh kerajaan kecuali kos pemasangan bateri.

“Pihak hospital kata jangan fikir mengenai kos berkenaan kerana perlu memikirkan kesihatan diri terlebih dahulu.

“Masalahnya sekarang, bila saya nak buat sebab slot untuk Khamis ini sudah ada enam. Doktor takut tak sempat dan jika boleh, barulah mereka akan buat,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Sebelum ini, Abon dikejarkan ke hospital selepas mengalami masalah jantung serius yang berpunca daripada batuk berpanjangan selama enam bulan, yang pada awalnya disangka sekadar sakit biasa.

Keadaan itu berlaku ketika dia menghadiri Ekspo Jabatan Warisan Negara Makanan Tradisi Malaysia di Ipoh, Perak pada 28 Jun lalu sebelum dibawa ke sebuah klinik dan kemudian dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

Bagaimanapun, pelawak itu kemudiannya memilih untuk meneruskan rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM), Kuala Lumpur.

Related Articles

Back to top button