Jualan Produk Cecah RM42 Juta, Khairul Aming Rancang Tambah Kilang Baharu
PENGUSAHA makanan dan juga pencipta kandungan, Khairul Aming mengumumkan peningkatan jualan sehingga 110 peratus sepanjang tahun 2024.
Menerusi hantaran di media sosial, rekod baharu jualan tersebut adalah berdasarkan dua produk popularnya, Sambal Nyet dan Dendeng Berapi.
“Pleased to share with you guys yang alhamdulillah jualan produk Khairulaming untuk tahun 2024 mencecah RM42 Juta, iaitu peningkatan sebanyak 110% dari tahun sebelumnya, RM 20 juta.
“Imbas kembali, dulu kita ambil masa tiga bulan untuk capai jualan RM1 juta. Sekarang alhamdulillah kita on track untuk dapatkan jualan RM1 juta seminggu,” kongsinya.
Dalam masa sama, Khairul Aming turut menjelaskan yang dua buah kilang miliknya di Kelantan mampu menghasilkan berbelas ribu produk sehari.
“Di kelantan kita dah ada dua buah kilang, dua produk dan 100 kakitangan. Dan kita boleh hasilkan berbelas unit produk sehari.
“Untuk tahun 2025 fokus kita adalah untuk expand ke kilang ketiga di Kelantan, keluarkan produk ketiga dan expand lagi team livestream.
“Thank you guys for your support, alhamdulillah sekarang dah masuk tahun ke-5 kita berniaga. Harap boleh expand lagi untuk tahun-tahun akan datang,” katanya lagi.