Aksi Mesra Dengan Jackson Wang Tak Berlebihan, Rossa Anggap Diri Duta Persahabatan
Dikatakan aksinya terlalu berlebihan ketika membuat persembahan dengan penyanyi Korea Selatan iaitu Jackson Wang, diva popular Indonesia, Datuk Seri Rossa tidak mengambil hati mahupun terasa dengan kritikan netizen.
Menganggap Jackson sebagai adik, Rossa berkata, apa yang dipersembahkan oleh mereka dalam program Indonesia Idol baru-baru ini adalah sebahagian daripada penghayatan ketika menyampaikan lagu Tegar.
“Saya tak ambil hati dengan kritikan mahupun usikan orang ramai. Apa yang dipersembahkan atas pentas hanya sebahagian daripada lakonan sahaja, ibaratnya sedang berlakon dalam sebuah filem.
“Gaya dan tarian yang dibuat mengikut rentak muzik. Ada beberapa pergerakan yang kami sudah rancang lebih awal. Tetapi, banyak juga pergerakan dan aksi spontan.
“Saya tidak berlebihan dan apa yang dipersembahkan hanya sebatas kawan atau mungkin ibarat seorang kakak dan adik sedang bernyanyi bersama.
“Itu hanya untuk penghayatan ketika melakukan persembahan dan mustahil kami menyanyi berasingan. Jika ada yang kata saya berlebihan, pasti dia yang mahukan sebenarnya,” kongsinya ketika ditemui dalam majlis Iftar Bersama Rossa anjuran Yayasan Prihatin Nasional di sebuah hotel pada Selasa.

Tutur pelantun lagu Hey Ladies itu lagi, ini bukan kali pertama dia berduet dengan artis luar negara dan sudah menganggap dirinya sebagai ‘duta persahabatan’ yang menyatukan muzik dari pelbagai negara.
“Kalau di Indonesia sendiri mereka sudah terbiasa melihat saya menyanyi sebegitu. Kebetulan kawan-kawan saya dari Korea Selatan juga ramai.
“Jadi setiap kali mereka ini datang ke Indonesia sudah pasti mereka akan mencari saya. Di sana (Indonesia) saya sudah dianggap seperti duta persahabatan,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, Rossa turut memuji sikap Jackson yang mempunyai peribadi baik selain handal dalam nyanyian serta tarian.
“Jackson budaknya baik. Dia sangat hebat menyanyi dan menari. Saya teruja dan senang sekali dapat menyanyi dengan dia. Pasti ramai orang di luar sana yang cemburu kan?,” jelas Rossa menjernihkan keadaan.
Dalam perkembangan terkini, Rossa bakal mengadakan konsert berskala besar iaitu ‘Here I Am’ yang bakal berlangsung di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil pada 14 Jun 2025.
Lebih teruja, konsert itu turut mengundang penyanyi terkenal Indonesia, Ariel Noah dan beberapa penyanyi tempatan seperti Ernie Zakri dan MK K-Clique.
Harga tiket konsert ‘Here I Am’ bermula dari RM228 untuk kategori Festival hingga RM788 bagi kategori Diamond Center, tidak termasuk cukai dan yuran pentadbiran.