Isu Jemaah Umrah Terkandas, Aaron Aziz Keluarkan RM90,000 Duit Sendiri

Pelakon, Datuk Aaron Aziz, 49, sanggup mengeluarkan wang sendiri berjumlah hampir RM90,000 bagi menampung kos jemaah umrah yang terkandas susulan wujud salah membabitkan sebuah agensi.

Berasa simpati dengan nasib mereka, pemilik nama lengkap Aaron Mustapha Aziz berkata, sekiranya dia tidak menolong jemaah tersebut, kesemua mereka tidak dapat melaksanakan ibadah umrah seperti dirancang.

“Kalau saya tak keluarkan duit sendiri, bagaimana dengan nasib 40 jemaah yang terkandas itu? Saya lihat semua jemaat sudah berusia, merupakan pangkat makcik dan pakcik.

“Kalau saya tidak bantu belikan mereka tiket, mereka tidak akan dapat menunaikan umrah seperti yang dirancang,” katanya dalam sebuah majlis yang berlangsung pada Selasa.

Berkongsi lanjut, Aaron menjelaskan isu yang berlaku bukan penipuan atau ‘scammer’, tetapi kesilapan dalam pengurusan.

Katanya, agensi berkenaan juga dalam proses untuk membuat pembayaran semula kepadanya.

“Saya tidak kata ini ‘scammer’, tetapi mungkin ada salah percaturan kerana proses untuk mengerjakan umrah bukan macam trip pergi London atau Paris.

“Kejadian itu berlaku sebulan sebelum saya tanda tangan kontrak, nasib baik tak terjebak lebih. Kini, mereka sedang buat proses pemulangan duit sedikit demi sedikit.

“Kalau saya ambil tindakan, syarikat itu akan tutup dan saya tak akan dapat duit saya semula dan selebihnya ramai pekerja tak bersalah akan hilang kerja. Saya tidak mahu panjangkan isu,” kongsinya lagi.

Pada Mac lalu, Aaron meluahkan rasa terkilan apabila mendakwa dirinya sudah mengalami kerugian kira-kira RM90,000 selepas didakwa ditipu sebuah agensi pengurusan umrah.

Related post

Leave a Reply