HR ‘Sentap’ Lepas Individu Ini Tolak Tawaran Kerja
Apabila seseorang mencari pekerjaan baharu, perkara biasa yang dilakukan tentulah menghadiri temuduga di beberapa syarikat sebelum memilih tawaran yang dirasakan paling sesuai.
Baru-baru ini, seorang pencari kerja berkongsi di media sosial bagaimana dia menerima respons sinis daripada bahagian Sumber Manusia (HR) sebuah syarikat selepas dia menolak tawaran kerja yang diberikan kepadanya.
Dalam satu hantaran di Threads, individu tersebut berkongsi tangkapan skrin mesej WhatsApp antara dirinya dan pihak HR, di mana dia memaklumkan bahawa dia menolak tawaran kerja yang diberikan kerana menerima tawaran lain yang lebih selari dengan perancangan kerjayanya.
Namun, bukannya mendoakan kejayaannya, pihak HR yang dipercayai tersinggung dengan penolakan itu membalas mesej tersebut dengan nada pasif-agresif/
“Ermm terima kasih bazirkan masa semua orang,” tulis pihak HR.
Jawapan itu mengejutkan pemohon kerja berkenaan dan membuatnya hairan dengan reaksi HR tersebut.
Dalam komen berasingan, pemohon kerja itu menjelaskan dia memuat naik tangkapan layar itu bukan untuk memburukkan syarikat berkenaan, tetapi hanya untuk berkongsi pandangannya tentang proses pengambilan pekerja.
“Bagi saya, selepas calon menerima surat tawaran, kita berhak untuk menilai, menerima atau menolak tawaran tersebut dan ia mengambil masa untuk membuat keputusan.
“Dalam kes saya, saya menerima beberapa tawaran daripada syarikat berbeza. Untuk situasi ini, bos dan HR tidak sepatutnya bercakap begitu kepada calon. Walaupun calon itu membazirkan masa anda, anda tidak perlu bertindak kasar. Lagipun, ia sebahagian daripada proses pengambilan kerja,” tulisnya.
Di ruangan komen, kebanyakan netizen berkata, individu tersebut telah terselamat daripada masalah dan mengkritik HR kerana bertindak tidak profesional.
Seorang lagi mencadangkan agar individu itu membalas HR dengan mengatakan bahawa respons kasar mereka membuktikan dia telah membuat keputusan yang tepat untuk menolak tawaran itu.
