Di Sebalik Persetujuan NewJeans Kembali Ke ADOR
Sejak seminggu yang lalu, dunia K-Pop dikejutkan dengan keputusan yang dibuat oleh anggota kumpulan NewJeans untuk kembali bernaung di bawah label rakaman, ADOR. Namun, ramai yang mungkin tertanya-tanya, bagaimanakah proses tersebut berlaku?
Menurut sumber industri, empat anggota NewJeans yang berada di Korea bersama penjaga masing-masing telah bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif ADOR, Lee Do Kyung, pada 11 November lalu.
Seorang lagi anggota yang berada di luar negara tidak dapat menghadiri pertemuan tersebut. Difahamkan, semasa pertemuan itu, mereka menyampaikan syarat dan persekitaran yang diinginkan sekiranya ingin kembali ke ADOR.
Sehari kemudian, pada petang 12 November, ADOR mengumumkan kepulangan Haerin dan Hyein, dan tidak lama selepas itu, Minji, Hanni dan Danielle turut mengumumkan hasrat mereka untuk kembali ke agensi yang sama.
Sekiranya tiada rayuan difailkan sebelum tengah malam 14 November, keputusan mahkamah peringkat pertama yang mengesahkan kesahihan kontrak eksklusif antara ADOR dan lima ahli NJZ akan dimuktamadkan.
Memandangkan ADOR telah mengesahkan kepulangan Haerin dan Hyein serta tiga ahli lain turut menyatakan kesediaan untuk kembali, kemungkinan besar kelima-lima ahli tidak akan memfailkan rayuan.
ADOR sebelum ini memaklumkan yang Haerin dan Hyein memutuskan untuk menghormati keputusan mahkamah dan mematuhi kontrak eksklusif selepas perbincangan mendalam bersama ADOR.
Difahamkan, bapa Hyein memainkan peranan penting dalam proses tersebut. Media Korea sebelum ini turut melaporkan kedua-dua ahli berkenaan telah menghubungi ADOR lebih awal dan mengadakan perbincangan mendalam sebelum 12 November.
Minji, Hanni dan Danielle pula mengumumkan hasrat mereka untuk kembali melalui kenyataan media yang dikeluarkan kira-kira 2 jam 40 minit selepas ADOR mengumumkan kepulangan dua ahli pertama.
“Seorang ahli kini berada di Antartika, jadi komunikasi sedikit tergendala. ADOR belum memberi maklum balas, jadi kami tiada pilihan selain mengumumkan pendirian kami secara berasingan,” tulis kenyataan berkenaan.
Bagaimanapun, kenyataan tersebut menimbulkan reaksi bercampur daripada netizen. Ada yang menganggap tindakan tiga ahli itu sebagai keputusan sepihak tanpa kelulusan ADOR.
Namun, seorang individu rapat dengan ketiga-tiga ahli menjelaskan bahawa mereka terpaksa membuat pengumuman melalui media kerana tidak menerima respons daripada ADOR, walaupun sudah pun bertemu dengan pihak agensi.
“Ketika menunggu maklum balas ADOR mengenai hasil pertemuan pada 11 November, kepulangan dua ahli lain diumumkan secara rasmi. Bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan peminat, mereka segera menyampaikan hasrat untuk kembali dan meminta ADOR mengumumkannya, tetapi kerana tiada jawapan, mereka terpaksa berbuat demikian melalui media,” kata sumber itu.
Selepas pertemuan pada 11 November, ADOR dijangka akan bertemu sekali lagi dengan wakil pihak ahli dalam masa terdekat bagi membincangkan butiran lanjut. Minji, Hanni dan Danielle turut dilaporkan bersetuju bahawa pertemuan lanjutan dengan ADOR perlu diadakan, namun sama ada mereka bertiga atau semua ahli akan hadir masih dalam perbincangan.
