Hikayat Sang Kancil Didakwa Berasal Dari Indonesia, Netizen Malaysia Kemuka Fakta British Library
SEORANG netizen yang difahamkan berasal dari Indonesia mendakwa hikayat sang kancil merupakan hikayat berasal dari Indonesia.
Menerusi perkongsian di laman X, individu tersebut menyatakan cerita dongeng berkenaan sebagai satu warisan budaya Indonesia yang tercatat sejak 1822 dalam Serat Kancil Amongsastra.
Individu tersebut menzahirkan rasa ketidakpuasan hati selepas melihat filem animasi Dongeng Sang Kancil yang kini tersedia untuk distrim di platform Netflix.
“Ini bukan pertama kalinya budaya Indonesia ‘diclaim, dan kita harus bertindak! Kenapa penting? Budaya kita boleh hilang identiti. Jika terus diclaim, generasi muda bolehlupa asal-usulnya. Potensi ekonomi terbuang, karya budaya mampu jadi sumber pendapatan, tapi Indonesia ketinggalan.
“Malaysia sudah lebih maju. Industri animasi mereka unggul berkat sokongan pemerintah, teknologi canggih, dan SDM kompeten (contoh Upin & Ipin). Indonesia tertinggal? Teknologi minimum, studio lokal masih terbatas alatnya. Sokongan pemerintah kurang. Belum ada kebijakan serius untuk animasi.
“Pasaran dikuasai asing. Animasi lokal kalah bersaing dengan kandungan import,” tulisnya.
Melihat pada dakwaan berkenaan, seorang pengguna X dari Malaysia mengemukakan bukti mengenai asal usul hikayat sang kancil.
Menerusi lampiran yang dikongsikan, terdapat tiga manuskrip bahasa Melayu Hikayat Pelanduk (Kancil) Jenaka yang telah didigitalkan di British Library. Difahamkan, ketiga-tiga manuskrip itu berasal dari Pulau Pinang atau Kedah sekitar 1805.
MSS Malay B.2, daripada koleksi John Leyden, bertarikh 1219 Hijrah (1804/5 Masihi) diterbitkan oleh Klinkert pada tahun 1893. Naskhah kedua (MSS Melayu D.5) tidak bertarikh, tetapi terdiri daripada karya kedua dalam jilid yang mengandungi empat kisah berbeza dan berada di tangan yang sama dengan item pertama Hikayat Muhammad Hanafiah yang ditulis Mahmud Bin Husain 14 Syaaban 1220 (7 November 1805).