FINAS Sedia Bantu Anak Allahyarham Dharma Harun Lanjutkan Pengajian Di ASWARA
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bersedia membantu dua anak Allahyarham seniman Dharma Harun Al Rashid iaitu Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman, 36, dan Siti Qurratu Aini, 37, meneruskan pengajian peringkat ijazah sarjana muda di Akademi Seni Budaya dan Warisan Negara (ASWARA).
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, pihaknya akan segera berhubung dengan ASWARA bagi mendapatkan maklumat terperinci dan melihat bentuk bantuan paling sesuai untuk disalurkan.
“Saya akan berhubung dengan ASWARA untuk mendapatkan kepastian kerana saya tahu kedua-dua anak arwah memang berhasrat melanjutkan pelajaran.
“Apabila timbul persoalan daripada laporan sebelum ini mengenai keadaan kesihatan dan kewangan arwah, ada yang tertanya mengapa anak-anak tidak membantu.
“Namun, sebenarnya saya melihat arwah sendiri mahu anak-anaknya memberi tumpuan kepada kejayaan akademik. Itulah hasrat dan harapan arwah. Saya nampak perkara itu dengan jelas,” katanya.
Azmir berkata FINAS bersedia mempertimbangkan bentuk bantuan yang wajar, terutama selepas mengetahui prestasi cemerlang anak-anak arwah dalam pengajian masing-masing.
“Mungkin dari sudut FINAS, kita boleh pertimbangkan bentuk bantuan kepada anak-anak arwah, khususnya dalam aspek pendidikan.
“Tetapi, saya akan berbincang terlebih dahulu dengan ASWARA, bagi melihat bagaimana FINAS boleh membantu. Saya yakin kedua-dua anak arwah mempunyai bakat dan potensi besar.
“Setahu saya, mereka antara pelajar cemerlang di ASWARA, seperti yang pernah arwah ceritakan sendiri kepada saya dengan penuh rasa bangga,” jelasnya lagi.
Menurut Azmir, Allahyarham pernah meluahkan rasa bangga terhadap pencapaian anak-anaknya yang menunjukkan prestasi akademik memberangsangkan di ASWARA.
“Saya dimaklumkan bahawa sejak kebelakangan ini, arwah menghadapi pelbagai komplikasi kesihatan. Anak-anak arwah, Syafiq dan kakaknya, kedua-duanya adalah pelajar ASWARA dan mereka cemerlang,” katanya lagi.
Allahyarham Dharma menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Wangsa Maju pada malam Selasa. Berita pemergian itu dikongsi Syafiq menerusi hantaran di InstaStory.
Allahyarham telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Fasa 2, Batu Caves, di sini, pada jam 12.30 tengah hari Rabu selepas dimandi dan disolatkan di Masjid Abu Ubaidah Al Jarrah, di Taman Sri Rampai.
