FFM34: ‘Babah’ Dinobatkan Filem Terbaik! Bolot 6 Kategori

FFM34: ‘Babah’ Dinobatkan Filem Terbaik! Bolot 6 Kategori

Filem Babah terbitan Nads Media Entertainment muncul sebagai karya terbaik apabila dinobatkan sebagai Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34).

Filem arahan Mohd Shah Faizul Ibrahim itu menewaskan empat pencabar lain iaitu Blood Brothers: Bara Naga, Reversi, Takluk: Lahad Datu dan Soloz: Game of Life, sekali gus membawa pulang Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM1 juta.

Selain kemenangan utama, Babah turut mencipta sejarah tersendiri apabila membolot beberapa kategori utama lain termasuk Pelakon Lelaki Terbaik (Qi Razali), Pelakon Wanita Terbaik (Sweet Qismina), Cerita Asal Terbaik (Nadia Nadzri) dan Lakon Layar Terbaik (Wan Rafiq).

Pengarahnya, Mohd Shah Faizul turut diumumkan sebagai pemenang Pengarah Harapan Terbaik.

Sementara itu, kategori Pengarah Terbaik, kemenangan menjadi milik gandingan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra menerusi Blood Brothers: Bara Naga, manakala Ellie Suriaty diangkat sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi lakonannya dalam Telaga Suriram.

FFM34 turut mencipta kejutan apabila dua pelakon, Syafiq Kyle dan Syazwan Zulkifly diumumkan bersama sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik melalui Blood Brothers: Bara Naga.

Selain itu, kategori Pelakon Kanak-kanak Terbaik dimenangi oleh Puteri Rafasya (Telaga Suriram), Pelakon Wanita Harapan menjadi milik Michelle Lungan (Tegkang) dan Pelakon Lelaki Harapan pula disandang oleh Amir Ahnaf (Kahar: Kapla High Council).

Kategori teknikal turut menyaksikan kemenangan kategori Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik (Defenderz Action Team), Sinematografi Terbaik (Nicholas Chin), Kesan Khas Visual Terbaik (Jehcob & Sam) serta Penataan Bunyi Terbaik (Mohsin Othman & Technica Studios).

Malam anugerah itu turut mengiktiraf sumbangan tokoh seni tanah air apabila Datuk Ahmad Tarmimi Siregar menerima Anugerah Khas Sepanjang Zaman, manakala Hassan Muthalib dianugerahkan Anugerah Khas Karyawan.

Dua filem, Ejen Ali The Movie 2 dan Takluk: Lahad Datu masing-masing menerima Anugerah Khas Juri 1 dan 2 sebagai pengiktirafan atas keunggulan karya masing-masing.

Setiap pemenang daripada 27 kategori utama menerima wang tunai RM5,000 beserta trofi, manakala penerima Anugerah Khas membawa pulang RM10,000 dan trofi.

Majlis berprestij itu dikendalikan oleh Datuk Afdlin Shauki dan Che Puan Sarimah Ibrahim yang disiarkan secara langsung di TV2.

Pentas FFM34 turut diserikan dengan persembahan artis ternama seperti Ziana Zain, Shila Amzah, Zizi Kirana, Noki, Azlan Typewriter dan Misha Omar.

Berikut senarai penuh pemenang FFM34:

  1. Filem Terbaik: Babah (Nads Media Entertainment Sdn Bhd)
  2. Pengarah Terbaik: Syafiq Yusof & Abhilash Chandra (Blood Brothers: Bara Naga)
  3. Pengarah Harapan: Shah Faizul (Babah)
  4. Cerita Asal Terbaik: Nadia Nadzri (Babah)
  5. Lakon Layar Terbaik: Wan Rafiq (Babah)
  6. Pelakon Lelaki Terbaik: Qi Razali (Babah)
  7. Pelakon Wanita Terbaik: Sweet Qismina (Babah)
  8. Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Syafiq Kyle & Syazwan Zulkifly (Blood Brothers: Bara Naga)
  9. Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Ellie Suriaty (Telaga Suriram)
  10. Pelakon Lelaki Harapan: Amir Ahnaf (Kahar: Kapla High Council)
  11. Pelakon Wanita Harapan: Michelle Lungan (Tegkang)
  12. Pelakon Kanak-Kanak Terbaik: Puteri Rafasya (Telaga Suriram)
  13. Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik: Defenderz Action Team (Blood Brothers: Bara Naga)
  14. Sinematografi Terbaik: Nicholas Chin (Blood Brothers: Bara Naga)
  15. Penataan Seni Terbaik: Wan Zulkifli Wan Salleh (Kulit Wayang)
  16. Penataan Bunyi Terbaik: Mohsin Othman & Technica Studios (Soloz: Game Of Life)
  17. Lagu Tema Terbaik: Bara Jiwa (Blood Brothers: Bara Naga)
  18. Skor Muzik Asal Terbaik: Soloz: Game Of Life
  19. Kesan Khas Visual Terbaik: Jehcob & Sam (Soloz: Game Of Life)
  20. Poster Terbaik: Arst (Tegkang)
  21. Rekaan Kostum/Busana Terbaik: Farah Syaliq (Mencari Ramlee)
  22. Tatarias/Solekan Terbaik: Ella Sandera (Takluk: Lahad Datu)
  23. Filem Pendek Terbaik: Rastech Worldwide Sdn Bhd (Saranghae)
  24. Dokumentari Terbaik: Media Prima Berhad (Rindu Tak Berpenghujung)
  25. Anugerah Khas Juri 1: Ejen Ali The Movie 2
  26. Anugerah Khas Juri 2: Takluk: Lahad Datu
  27. Anugerah Khas Karyawan: Hassan Muthalib
  28. Anugerah Khas Sepanjang Zaman: Datuk Ahmad Tarmimi Siregar

Related post

Leave a Reply