Cubaan Keluar Agensi Gagal, Mahkamah Sahkan Kontrak NewJeans Masih Bersifat Eksklusif
Agensi K-Pop, ADOR mengeluarkan kenyataan rasmi selepas menerima keputusan mahkamah yang memihak kepada mereka dalam kes pengesahan kesahihan kontrak eksklusif bersama kumpulan NewJeans.
Mahkamah Daerah Pusat Seoul, Bahagian Sivil ke-41, telah memutuskan bahawa kontrak eksklusif antara agensi itu dan artis-artisnya kekal sah dan mengikat dari segi undang-undang.
Dalam kenyataannya, ADOR menegaskan yang mahkamah mendapat syarikat tersebut tidak melanggar sebarang tanggungjawab sebagai agensi pengurusan dan bahawa percubaan pihak artis untuk menamatkan kontrak atas alasan kehilangan kepercayaan tidak berasas.
“Mahkamah memutuskan bahawa kontrak eksklusif antara syarikat kami dan artis-artis kami, NewJeans, kekal sah.
“Mahkamah juga menentukan syarikat kami tidak melanggar sebarang kewajipan sebagai agensi pengurusan dan sebarang cubaan untuk keluar daripada kontrak atas alasan kehilangan kepercayaan tidak boleh diterima. Kami amat berterima kasih atas keputusan ini,” kata ADOR.
Sejak NewJeans memohon untuk menamatkan kontrak pada November tahun lalu, ADOR menjelaskan pihaknya telah mengikuti semua proses undang-undang dengan teliti, termasuk kes utama untuk mengesahkan kesahihan kontrak, permohonan injunksi, serta rayuan sepanjang tahun lalu.
“Selama hampir setahun, mahkamah secara konsisten memutuskan dalam pelbagai kes berkaitan bahawa syarikat kami adalah agensi pengurusan yang sah di bawah kontrak eksklusif, dan artis-artis tersebut perlu melaksanakan aktiviti hiburan bersama kami,” tambah ADOR.
Syarikat itu turut menyatakan harapan agar keputusan ini memberi ruang kepada artis untuk menilai semula keadaan dengan tenang, serta menegaskan komitmen mereka untuk menunaikan tanggungjawab di bawah kontrak sedia ada.
ADOR juga mengesahkan bahawa mereka kini dalam persiapan untuk aktiviti masa depan, termasuk pelancaran album penuh dan berjanji akan bekerjasama rapat dengan ahli-ahli NewJeans untuk kembali kepada peminat secepat mungkin.
