
Pelakon, Fasha Sandha, 42, mendedahkan dia mengalami keguguran ketika usia kandungannya mencecah 10 minggu.
Fasha berkata perkara itu berlaku pada petang 16 Februari dan menjelaskan bukan berpunca daripada faktor keletihan bekerja mahupun berdiet.
“Kisah 3 petang, 16 Februari. Bukan kerana terlalu banyak bekerja atau bergerak, bukan kerana terlalu kuat berdiet.
“Kata Dr. Elly baby A tak sihat. Maka terjadilah keguguran awal kehamilan (10 minggu) tapi kena buat D&C (prosedur cuci rahim) sebab baby dah besar,” kongsinya menerusi Instagram.
Dalam hantaran sama, isteri kepada aktor Aidil Aziz itu turut memuat naik foto ketika berada di wad hospital dengan ditemani suami tercinta.
Meski berdepan ujian berat, Fasha memilih untuk berlapang dada dan menyifatkan mereka masih belum dikurniakan rezeki untuk menambah zuriat.
“Juga bukan rezeki kami lagi, insya-Allah akan cuba lagi di tahun-tahun akan datang. Sekarang sama-sama fokus kerja dulu,” ujarnya.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu turut menitipkan kata-kata semangat buat wanita yang melalui pengalaman sama agar tidak berputus asa.
“Apa pun, kepada yang sama-sama mengalami macam saya, jangan rasa down (patah semangat), dapat hamil secara alami pun satu anugerah juga. Mungkin ada rezeki lain untuk kita.
“Terima kasih buat yang mendoakan baik-baik untuk kami dan semoga doa yang baik kembali pada kalian,” katanya lagi.
Untuk rekod, perkahwinan Fasha bersama Aidil diserikan dengan kehadiran seorang anak perempuan, Aisha Amaira yang kini berusia enam tahun.
Fasha turut mempunyai dua lagi cahaya mata hasil perkahwinan terdahulu bersama ahli perniagaan, Rizal Ashram iaitu Putra Rayfal, 13, dan Putri Raysha Jemyma, 12.



