
Seorang pemilik kedai di Phuket, Thailand berdepan kecaman selepas tindakannya yang didakwa berunsur perkauman terhadap seorang pelancong wanita dari China tular di platform Douyin.
Rakaman tersebut memaparkan seorang wanita warga emas Thailand, yang digambarkan sebagai pemilik kedai, bertengkar dengan seorang wanita China. Dalam video itu, pemilik kedai yang memakai gaun merah dilihat menjerit serta membuat beberapa isyarat menghina, termasuk menjelirkan lidah dan menarik bahagian mata dengan cara yang dianggap memperlekehkan.
Wanita warga China yang memuat naik video berkenaan menulis pada kapsyen: “Kita sama-sama orang Asia.”
Jelas wanita itu, dia tidak memasuki kedai tersebut dan tidak bercadang untuk berbuat demikian, sebaliknya hanya melintasi premis itu ketika warga emas berkenaan sedang bercakap dengan pasangan dari India di luar.
Menurutnya, pasangan tersebut bertanya tentang kewarganegaraannya, dan pemilik kedai didakwa membuat isyarat hidung seperti babi sambil mengatakan dia berasal dari China. Pelancong itu berkata, dia menganggap tindakan tersebut tidak wajar dan menegur pemilik kedai supaya tidak berbuat demikian.
Keadaan kemudian bertukar menjadi pertengkaran apabila pemilik kedai didakwa berkata: “Kenapa saya tak boleh buat? Orang China hodoh!”
Wanita itu mendakwa pemilik kedai terus mengejeknya. Walaupun tidak mahu mencetuskan konfrontasi terbuka, dia memutuskan untuk merakam kejadian tersebut dan memuat naiknya ke media sosial.
Video itu mendapat perhatian pengguna media sosial China dan turut dikongsi meluas oleh pengguna serta media Thailand.
Menurut laporan halaman Facebook Phuket Times News, kedai tersebut terletak di kawasan Bandar Lama Phuket. Laporan itu mendakwa pemilik kedai biasanya mengenakan bayaran masuk sebanyak 40 baht kepada pelancong yang masuk ke kedai tetapi tidak membuat pembelian.
Laporan sama turut mendakwa, apabila pengunjung enggan membayar, pemilik kedai akan mengejek dan menunjukkan sikap diskriminasi seperti yang dilihat dalam video Douyin tersebut.
Beberapa pengulas berkata, terdapat papan tanda di hadapan kedai yang memaklumkan tentang bayaran masuk itu.
Sebahagian warganet turut mendakwa tingkah laku tersebut telah berlarutan selama bertahun-tahun tanpa tindakan daripada pihak berkuasa atau polis tempatan.
Ramai pengguna Thailand mengecam tindakan pemilik kedai itu dan menyatakan bahawa tiada siapa berhak mendiskriminasi orang lain. Ada yang mendakwa wanita tersebut mungkin berketurunan Thai-Cina, seperti kebanyakan penduduk di Phuket.
Sebahagian pengguna lain pula berkata bukan kedai itu sahaja yang mengenakan bayaran masuk, malah terdapat beberapa premis lain di kawasan tersebut yang didakwa mengenakan caj serupa kepada pelancong, khususnya warga asing.
Ada juga yang memberi amaran bahawa insiden seperti ini boleh memberi kesan terhadap jumlah pelancong dari China, yang dilaporkan menurun sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Sumber: Thaiger



