
Pelakon, Mia Sara Nasuha akhirnya tampil membuka mulut berhubung kontroversi yang mengaitkan namanya dengan aktres, Puteri Balqis.
Mia mengakui berasa pelik dengan dakwaan yang timbul dan memaklumkan dia sudah cuba menghubungi Puteri Balqis untuk mendapatkan penjelasan, namun sehingga kini tidak menerima sebarang maklum balas.
“Untuk pengetahuan semua, saya disekat oleh Puteri Balqis di semua platform media sosial. Saya tak faham kenapa dia meletupkan semula isu lama tersebut sedangkan sebelum ini dia sendiri cakap nak tutup kes dan move on.
“Dia sekat saya dan saya anggap mungkin dia sudah tak mahu ada apa-apa kaitan. Jadi saya hormat keputusan itu. Pihak saya dah hubungi, tapi tiada respons.
“Jadi saya tak tahu sama ada dia mahu berdamai, berjumpa seperti dikatakan atau sengaja buat drama untuk burukkan nama saya,” katanya dalam sebuah hantaran.
Tidak berdiam diri, Mia turut menegaskan dia tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap Puteri Balqis serta beberapa individu lain yang didakwa menggunakan namanya sebagai bahan kandungan di media sosial.
“Saya tidak akan teragak-agak ambil tindakan undang-undang terhadap Puteri Balqis. Banyak komen yang saya sudah screenshot dan simpan. Saya akan ambil tindakan, cuma tunggu masa saja.
“Kepada Puteri Balqis, kalau benar mahu bersemuka atau berbaik, kenapa tak hubungi saya? Awak ada nombor telefon saya,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, Mia menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya dia pernah membuli Puteri Balqis ketika mereka masih kanak-kanak.
“Saya hanya pernah berjumpa dia sehari sahaja dalam hidup saya. Selepas itu, kami tak pernah berhubung dari umur tujuh tahun hingga sekarang 21 tahun. Saya tak pernah buli dia atau ibunya. Tuduhan itu sangat berat.
“Mereka kata dikambinghitamkan ketika umur tujuh tahun, sedangkan lamb chop pun saya tak tahu itu kambing atau lembu. Tentang aniaya, saya pun tak tahu. Sekali lagi saya tegaskan, saya hanya jumpa dia sehari dan sekali sahaja,” tegasnya.
Mengulas mengenai hantaran yang pernah dimuat naik sekitar tahun 2021, Mia menjelaskan itu sekadar perkongsian pengalaman peribadi dan luahan simpati terhadap Puteri Balqis, bukannya bertujuan menyindir atau menyerang mana-mana pihak.
Sebelum ini, media sosial kecoh apabila Puteri Balqis mendakwa dirinya menjadi mangsa buli yang didakwa dilakukan Mia sehingga memberi kesan kepada keluarganya. Ketika isu itu hangat diperkatakan, Mia memilih untuk berdiam diri dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.



