Doa Acha Septriasa Dimakbulkan Dalam Tempoh 10 Minit

Pelakon popular Indonesia, Acha Septriasa tidak menyangka apabila doanya untuk membintangi sebuah naskhah yang boleh mendekatkan diri kepada Allah dimakbulkan dalam tempoh 10 minit usai menunaikan solat Asar.

Kongsi Acha, dia secara tiba-tiba dihubungi oleh pengarah Qodrat 2, Charles Gozali untuk membintangi filem itu sekali gus menunjukkan kebesaran Yang Maha Esa.

Jelasnya, dia yang kini menetap di Sydney, Australia lantas menyusun jadual untuk peluang ke Indonesia bagi menjalani penggambaran.

“Ada satu hari saya berdoa selepas solat Asar, mohon pada Allah nak dapat pekerjaan yang dekatkan diri saya kepada-Nya, tiba-tiba Charles hubungi saya dan tawarkan watak untuk filem Qodrat 2.

“Lebih membuat saya terkejut apabila Charles kata, ada lima orang yang menyebut nama saya untuk bawakan watak Azizah dalam filem itu.

“Saya bingung sekejap, sedangkan tadi baru berdoa kemudian Charles minta saya datang ke Jakarta dan bertemu dengannya ketika pelakon lain sudah buat latihan.” kongsinya ketika ditemui di sidang media filem Qodrat 2, baru-baru ini.

Berkongsi mengenai watak bernama Azizah yang dijayakan, Acha berkata, dia mengambil masa yang agak lama untuk mengeluarkan roh watak tersebut dalam dirinya meskipun penggambaran sudah lama selesai.

“Watak bernama Azizah sangat memberi kesan kepada saya dan watak ini berbeza dengan apa yang pernah saya bawakan sepanjang berlakon. Watak ini benar-benar membantu saya mendekatkan diri kepada Allah.

“Mungkin sebelum ini saya sekadar membaca surah dalam solat tanpa memahami makna sebenar, tetapi selepas membintangi Qodrat 2, saya mendidik diri untuk faham akan setiap makna dalam bacaan,” kongsinya lagi.

Related post

Leave a Reply