Elly Mazlein Selesa Sorok Wajah Anak
Demi menjaga privasi keluarga, penyanyi dan pengacara, Elly Mazlein, 45, tetap dengan pendirian untuk tidak mendedahkan wajah anak-anaknya kepada umum.
Menurut pemilik nama lengkap Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, dua cahaya matanya iaitu dilihat selesa dengan keadaan tersebut tanpa dihujani populariti serta publisiti.
“Saya tetap dengan langkah yang saya ambil untuk tidak dedahkan wajah anak-anak saya. Saya sebagai ibu mahu anak-anak jalani kehidupan mereka seperti orang biasa, walaupun ibu mereka selebriti.
“Alhamdulillah, saya lihat, anak-anak juga selesa dengan situasi itu. Mereka tidak perlu menjadi tumpuan orang,” katanya di sidang media Big Stage Aplha, baru-baru ini.
Diminta mengulas mengenai tindakan sama diambil segelintir selebriti yang turut ‘menyorokkan’ wajah anak mereka, pelantun lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan itu berkata, setiap individu berhak menentukan kehidupan masing-masing.
“Tidak hanya artis, saya percaya orang awam diluar sana pun ada yang mengambil pendekatan sama. Terserah kepada hak masing-masing kalau tidak mahu tunjukkan wajah anak,” ungkapnya lagi.
Dalam pada itu, Elly turut menghargai peminat yang menghormati keputusannya menutup wajah anak dan tidak mendedahkan kepada umum meskipun ada yang mengambil gambar bersama.
Dalam perkembangan lain, Elly bakal menjadi hos untuk program Big Stage Aplha yang bakal berlangsung pada 27 April ini bergandingan dengan Rina Nose.
Sekadar info, Elly mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Azlan Che Nuh pada Januari 2020 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Haider, 4 tahun.
Sebelum itu, Elly pernah berkahwin dengan pengarah Azmi Hatta pada 9 November 2014 namun berpisah pada 15 Oktober 2015.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Putri Sara Sefhia, 8 tahun.