
Rapper kontroversi Namewee dibicarakan di Mahkamah Majistret atas dakwaan memiliki dadah di sebuah hotel pada Oktober lalu.
Namewee, atau nama sebenarnya Wee Meng Chee, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim pada Isnin.
Menurut kertas pertuduhan, Namewee didapati memiliki 0.78 gram sildenafil di sebuah hotel berhampiran Jalan Conlay kira-kira jam 4.30 petang pada 22 Oktober tahun lalu.
Sildenafil merupakan ubat yang digunakan untuk merawat masalah mati pucuk.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Racun, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun, denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Namewee, 43, turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pindaan memiliki 1.57 gram methamphetamine di tempat dan masa yang sama.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta yang sama, yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000, penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nurainizatul Farhana Zainal hadir bagi pihak pendakwaan, manakala Namewee diwakili peguam Joshua Tay.
Mahkamah menetapkan 5 Mac untuk sebutan semula kes.
Pada 22 Disember tahun lalu, Mahkamah Majistret di sini telah membebaskan dan melepaskan Namewee daripada pertuduhan mengambil dadah sendiri selepas pihak pendakwaan memaklumkan bahawa keputusan patologi adalah negatif dan menarik balik pertuduhan tersebut.
Sumber: The Star



