Datuk Red Tamatkan Zaman Duda, Berkahwin Dengan Ibu Anak Satu

Usahawan, Datuk Red kini sah bergelar suami kepada wanita pilihan hatinya, Rohanita, dalam satu majlis akad nikah yang berlangsung di sebuah masjid dipercayai di sekitar Kuala Lumpur, pada Jumaat.
Berita gembira itu dikongsikan sendiri Datuk Red atau nama sebenarnya Adnan Abu menerusi sesi siaran langsung di akaun TikTok miliknya.
Menerusi siaran langsung tersebut, Datuk Red dan Rohanita dilihat anggun mengenakan persalinan sedondon serba putih ketika menghadiri majlis yang dipercayai hanya dihadiri ahli keluarga serta kenalan terdekat.
Sehari sebelum majlis berlangsung, Datuk Red turut memberi bayangan mengenai hari bahagianya apabila memuat naik foto swafoto bersama Rohanita sambil memegang jambangan bunga menerusi TikTok Story.
Malah, kira-kira lima jam sebelum akad nikah berlangsung, dia sekali lagi berkongsi gambar bersama isterinya di hadapan cermin dengan disertakan emoji hati berwarna biru dan emoji pengantin perempuan.
Sebelum ini, Datuk Red mengesahkan bakal menamatkan zaman dudanya pada bulan ini dalam sebuah majlis sederhana yang hanya dihadiri keluarga terdekat.
Menurutnya, majlis berkenaan dirancang berlangsung di Kuala Lumpur dan dia berharap segala urusan dipermudahkan serta berjalan lancar.
Untuk rekod, hubungan Datuk Red dan Rohanita yang juga merupakan ibu tunggal kepada seorang cahaya mata mula menjadi perhatian warga maya sejak Januari lalu.
Terdahulu, Datuk Red pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Adira Suhaimi sebagai isteri kedua pada 3 Disember 2015. Namun, pasangan itu bercerai pada 24 April 2024 selepas dikurniakan empat orang cahaya mata bersama.



