BTS Terus Dominasi Dunia, Album ARIRANG Catat 3.8 Bilion Penstriman Dalam 8 Minggu

BTS sekali lagi membuktikan pengaruh global mereka apabila album studio kelima, ARIRANG, berjaya mencatat pencapaian penstriman yang memberangsangkan di seluruh dunia.
Menurut syarikat data muzik Amerika Syarikat, Luminate, BTS merekodkan sebanyak 3.8 bilion strim bagi album ARIRANG di pelbagai platform penstriman muzik global dalam tempoh lapan minggu pertama selepas pelancarannya.
Dalam tempoh yang sama, keseluruhan katalog lagu BTS turut melepasi 5.3 bilion strim, didorong oleh kemunculan semula kumpulan itu secara penuh selepas tiga tahun lapan bulan, selain pelancaran jelajah dunia mereka.
Populariti BTS juga dilihat tersebar secara seimbang di seluruh dunia dan tidak hanya tertumpu kepada satu rantau.
Amerika Latin menyumbang 27 peratus daripada jumlah keseluruhan strim, diikuti Asia Timur Laut (17 peratus), Amerika Utara (14 peratus), Asia Tenggara (13 peratus) dan Eropah (12 peratus).
Wakil BigHit Music berkata, data tersebut membuktikan muzik BTS diterima secara meluas di pasaran utama dunia, dan bukannya hanya popular di rantau tertentu.
Bukan sahaja lagu utama album itu mendapat sambutan, malah lagu-lagu sampingan turut mencatat prestasi memberangsangkan.
Lagu SWIM menjadi lagu pertama yang dikeluarkan pada tahun ini untuk melepasi 500 juta strim di Spotify.
Sementara itu, Body to Body dan Hooligan masing-masing melepasi 200 juta strim, manakala setiap lagu dalam album ARIRANG berjaya mencatat lebih 100 juta strim. Jualan album fizikal turut kekal kukuh.
BTS menduduki tangga pertama jualan album fizikal di Amerika Syarikat dengan lebih 810,000 unit, termasuk CD dan piring hitam (vinyl LP), terjual di negara itu sahaja.
Kajian Luminate turut menunjukkan tahap kesetiaan peminat BTS semakin meningkat. Sebanyak 26 peratus responden dikategorikan sebagai peminat yang sangat aktif, 15 peratus sebagai peminat yang mempunyai ikatan emosi yang kuat, manakala 9 peratus diklasifikasikan sebagai superfan.
Kesemua kategori itu menunjukkan peningkatan antara dua hingga lima mata peratusan berbanding tahun 2021.
Dalam perkembangan lain, BTS akan meneruskan jelajah dunia ‘ARIRANG’ menerusi konsert di Tottenham Hotspur Stadium, London pada 6 dan 7 Julai depan.



