Trending

“Bukan Semua Yang Pergi Pejabat Agama Untuk Bercerai”

Isteri kepada pelakon Redza Rosli, Bella Hanna tampil menjelaskan keadaan sebenar selepas foto yang dimuat naik ketika berada di sebuah pejabat agama mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan wargamaya.

Pemilik nama sebenarnya Farhana Nabila Rosman, mengakui terkejut apabila ramai yang terus membuat andaian kononnya kehadirannya di pejabat agama mempunyai kaitan dengan rumah tangganya.

“Ya ampun ramai dah salah faham ni,” tulisnya ringkas dalam sebuah hantaran di Threads.

Dalam perkongsian sama, Bella mengingatkan orang ramai supaya tidak terlalu cepat membuat kesimpulan atau berburuk sangka tanpa mengetahui situasi sebenar.

“Manusia mudah berburuk sangka dan membuat andaian. Kadang-kadang, memilih untuk berfikir yang baik jauh lebih menenangkan. Tak semua perkara perlu difahami dengan sangkaan,” luahnya.

Menjawab pertanyaan seorang netizen di ruangan komen, Bella menegaskan foto yang dikongsikan itu hanyalah sekadar perkongsian biasa dan langsung tidak berkaitan dengan isu perceraian.

“Takde apa yang mengundang pun, saya hanya post gambar di pejabat agama saja. Bukan semua orang yang pergi pejabat agama tu untuk bercerai ya,” jelasnya.

Terdahulu, Bella memuat naik sekeping gambar ketika berada di Pejabat Agama Islam Hulu Langat, Selangor pada Khamis sehingga mencetuskan pelbagai andaian dalam kalangan netizen.

Rata-rata mengaitkan kehadirannya di lokasi tersebut dengan masalah rumah tangga bersama suaminya, Redza Rosli, namun Bella tampil menafikan dakwaan berkenaan.

Untuk rekod, Bella dan Redza mendirikan rumah tangga pada 21 Jun 2024. Pasangan itu turut dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Muhammad Aydrean Raess yang dilahirkan pada 13 Januari lalu.

Related Articles

Back to top button