Darwish Bawa Ryzall Kembara Ke Amerika Latin, Sepanyol
Mempertaruhkan seratus bakat yang ada di dalam dirinya menjadi agenda penting kepada penyanyi yang satu ini. Tidak sekadar boleh menyanyi dengan baik malah penyanyi yang satu ini juga mampu mencipta lagu.
Menyebutkan nama Ryzall Noh barangkali kedengaran sedikit asing bagi segelintir peminat. Namun lelaki yang berasal dari Singapura pula ada sesuatu yang cuba dibuktikan melalui karyanya.
Paling manis apabila lagu Darwish bukan sahaja mendapat sambutan baik bukan sahaja di Singapura tetapi juga di beberapa negara lain termasuk Amerika Latin dan Sepanyol.
“Lagu Darwish begitu istimewa dan diminati ramai serta sering digunakan dalam kebanyakan naskhah keagamaan. Mungkin kerana ia kena dengan perjalan kisah sufi dan untuk mereka yang mencari kebenaran.
“Saya beruntung kerana dapat bekerjasama dengan ramai orang hebat. Lirik lagu ini sendiri ditulis oleh Hairul Anuar Harun yang begitu dikenali ramai.
“Banyak karyanya mendapat sambutan baik daripada pendengar termasuklah Cindai, Hati Kama, Yayadan, Samrah Mentari, Tinting, Sesuci Lebaran dan Nirmala,” katanya memulakan cerita.
Menariknya, rezeki Darwish bukan sahaja membawa namanya ke serata pelosok dunia tetapi dia dihargai apabila diundang membuat persembahan Popaholic di Esplanade, Singapura.

Ryzall berkata, Darwish adalah kisah seorang manusia biasa yang sedia berkorban apa sahaja demi mendapatkan cinta ‘kekasihnya’ dan melunaskan rindu yang lama terpendam.
“Saya anggap Darwish adalah tentang harapan dan juga pujian yang mekar kembang serta membangkitkan semangat tentang cinta yang tidak terbalas,” katanya lagi.
Menyusuri perjalanan seni penyanyi ini, Ryzall sebenarnya sudah mencipta dan menerbitkan banyak karya sebelum ini.
Dia juga pernah menjadi vokalis kumpulan Audionauts yang memenangi pelbagai anugerah dan dia kini mengorak langkah meneruskan kerjaya secara solo pula.
Aktif selama tujuh tahun bersama Audionauts sehingga 2017, mereka telah memenangi pelbagai anugerah seperti Kumpulan / Duo terbaik di Anugerah Planet Musik 2013.
Selain itu kumpulkan ini juga berjaya merangkul trofi kategori Lagu Tertinggi Royalti sempena Anugerah Compass Singapura; Artis Popular Singapura, Anugerah Planet Muzik 2015 dan Lagu tertinggi Royalti, Anugerah Compass 2015.
Bukan sekadar itu karya-karya Ryzall turut berkembang menerusi kolaborasi dengan artis lain seperti Ronnie Hussin, Allahyarham Tony Spider, Rahila Rashun, Altimet, Maman Teacher Pet, Addy Cradle, dan Datuk Ramli Sarip.