Bukit Bintang Bakal Jadi ‘Ginza Malaysia’
Bukit Bintang mungkin bakal bersinar dengan lebih terang daripada sebelumnya apabila Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, mengumumkan rancangan berani untuk menjadikan kawasan ikonik Kuala Lumpur itu setaraf dengan Ginza di Jepun atau Orchard Road di Singapura.
Menurut laporan 8TV News, Nga berkata inisiatif tersebut bertujuan menghidupkan semula kawasan Segi Tiga Emas agar lebih meriah, berwarna-warni dan penuh daya tarikan, terutama menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Misi saya adalah untuk memastikan imej Segi Tiga Emas Bukit Bintang setanding dengan Ginza di Tokyo atau Orchard Road di Singapura,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran projek I Lite U di Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini
Nga menjelaskan, projek itu akan memberi tumpuan kepada empat komponen utama, bermula dengan penggantian lampu jalan sedia ada kepada pencahayaan artistik yang menonjolkan unsur budaya Malaysia.
Pelan tersebut turut merangkumi pemasangan arca khas sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, selain dua lagi penambahbaikan yang akan diumumkan tidak lama lagi.
Beliau berkata, semua penambahbaikan ini bertujuan meningkatkan identiti Bukit Bintang dan menjadikannya destinasi bertaraf dunia bagi pelancong dan warga tempatan.
Nga turut mendedahkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan projek ini pada 3 Januari 2026.
Bagi melancarkan majlis perasmian dan acara sambutan besar-besaran itu, beberapa jalan di Bukit Bintang akan ditutup kerana satu perarakan berskala besar bakal diadakan.
“Kita akan memohon kepada pihak polis untuk menutup beberapa jalan di Bukit Bintang kerana kita akan menganjurkan perarakan bersaiz besar, setanding Disneyland,” katanya.
Nga turut menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam pada hari tersebut bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
