
Kumpulan K-Pop terkemuka, BLACKPINK telah mencipta sejarah apabila menjadi artis pertama di dunia yang melepasi 100 juta pelanggan (subscribers) di YouTube.
Menurut YouTube dan YG Entertainment, kumpulan itu mencapai pencapaian besar tersebut pada pukul 7:31 malam pada 20 Febaruari lalu.
Bagi meraikan kejayaan ini, YouTube menghadiahkan BLACKPINK anugerah khas yang ditempah khas iaitu ‘Red Diamond Creator Award’.
Sejak melancarkan saluran mereka pada Jun 2016, perkembangan BLACKPINK dilihat amat luar biasa.
Pada Julai 2020, mereka menjadi artis bukan berbahasa Inggeris pertama yang memasuki kelompok lima teratas dari segi jumlah pelanggan YouTube.
Mereka kemudiannya mengatasi bintang pop global seperti Ariana Grande, Eminem, Ed Sheeran, Marshmello dan Justin Bieber.
Menjelang September 2021, mereka secara rasmi meraih gelaran artis dengan pelanggan YouTube terbanyak di dunia dan berjaya mengekalkan kedudukan tersebut sehingga kini.
Anggota-anggota kumpulan itu turut memuat naik video khas di YouTube bagi menzahirkan rasa terima kasih yang mendalam kepada peminat atas sokongan yang memungkinkan rekod luar biasa ini tercapai.



