BeritaViral

‘Doktor Minta Kami Sekeluarga Bersedia…’

Pelakon, Amyza Aznan, 51, memohon doa orang ramai apabila anak sulungnya, Andre Mikhail dilaporkan berada dalam keadaan kritikal di Hospital Kuala Lumpur akibat kanser paru-paru.

Menerusi beberapa perkongsian di InstaStory, Amyza meluahkan kebimbangan dan hanya mampu berharap pada keajaiban dan doa masyarakat.

“Assalamualaikum seluruh rakyat Malaysia. Saya ibu kepada Andre Mikhail, sekarang saya ada di hospital.

“Tolong doakan anak saya. Kalau ada sesiapa yang boleh bantu dengan apa sahaja ikhtiar perubatan, saya mohon sangat,” katanya.

Dalam masa sama, Amyza turut mencari individu yang mempunyai kepakaran perubatan alternatif sebagai usaha tambahan selain rawatan hospital.

“Sesiapa yang pandai perubatan alternatif walaupun jarak jauh, saya perlukan bantuan sekarang. Tolong saya,” rayunya.

Situasi menjadi lebih menyayat hati apabila Amyza mendedahkan pihak doktor memaklumkan agar keluarga bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

“Doktor minta kami sekeluarga bersedia… Ya Allah, kepada yang ada kepakaran selain rawatan hospital, bantulah anak saya,” ujarnya.

Terdahulu, sekitar tahun lalu Amyza mengesahkan Andre, 20, menghidap kanser paru-paru tahap tiga.

Ujian buat dirinya tidak terhenti di situ apabila pada Ramadan pertama tahun ini, dia sekali lagi menerima khabar duka apabila anak keduanya, Adrian Adam disahkan menghidap kanser tulang.

Perkongsian tersebut mengundang rasa simpati ramai yang turut menitipkan doa agar Andre dipermudahkan segala urusan dan dikurniakan kesembuhan.

Related Articles

Back to top button