Lagu BaharuMusic

Bersuara Bawa Mesej Berani ‘Melawan’, Jangan Biar Ditindas

Kumpulan band popular tempatan, Insomniacks, tampil dengan single terbaharu berjudul Bersuara, hasil kolaborasi bersama artis hip hop dan alternatif, Yonnyboii.

Pelancaran lagu ini menandakan fasa baharu dalam perjalanan seni kedua-dua artis, khususnya dari segi pendekatan muzik dan mesej yang diketengahkan.

Bersuara membawa tema keberanian untuk menyuarakan perasaan serta mempertahankan harga diri, berteraskan pengalaman peribadi berkaitan rasa tidak didengari dan tekanan emosi yang dipendam.

Menurut Insomniacks, lagu ini tercetus daripada situasi di mana pandangan dan suara seseorang sering diketepikan.

“Lagu ini berkisar tentang keberanian untuk berdiri mempertahankan diri, terutamanya apabila berdepan dengan penindasan atau buli. Ia juga mengenai kesedaran terhadap nilai diri serta kepentingan untuk bersuara,” jelas Iqie mewakili ahli Insomniacks.

Dari aspek muzik, Bersuara menampilkan kelainan berbanding karya terdahulu Insomniacks yang lebih sinonim dengan balada.

Lagu ini menonjolkan elemen muzik yang lebih berat dan agresif, namun masih mengekalkan kekuatan emosi sebagai teras utama, sekali gus memperlihatkan perkembangan dalam eksplorasi bunyi kumpulan tersebut.

Kolaborasi bersama Yonnyboii memainkan peranan penting dalam pembentukan keseluruhan lagu. Menurut Insomniacks, sumbangan Yonnyboii dari segi penulisan dan penyampaian vokal memberikan dimensi yang lebih mentah serta berani kepada karya berkenaan.

Insomniacks dan Yonnyboii mengharapkan lagu ini diterima baik oleh peminat.

“Yonny menyumbang kepada penulisan bahagian hook dan membawa tenaga yang lebih tegas, sekali gus menguatkan karakter lagu ini,” tambah Iqie lagi.

Bagi Yonnyboii, Bersuara merupakan sebuah karya yang lahir daripada pengalaman peribadi yang rapat dengan dirinya.

“Lagu ini dihasilkan ketika saya berdepan dengan perasaan tidak didengari oleh segelintir pihak. Ia menjadi medium untuk menyuarakan kesukaran dan tekanan yang saya alami.

“Saya lebih lama terdedah kepada muzik alternatif. Oleh itu, pendekatan ini memberi ruang kepada saya untuk menampilkan sisi lain sebagai seorang pengkarya,” jelasnya.

Selain itu, Yonnyboii turut menampilkan sisi vokal yang lebih cenderung kepada muzik rock dan alternatif, berbeza daripada pendekatan rap yang sering dikaitkan dengan kerjaya seninya.

Proses kolaborasi antara insomniacks dan Yonnyboii disifatkan berjalan lancar dan profesional, tanpa sebarang tekanan yang berlebihan.

“Kerjasama ini berlangsung dalam suasana yang positif dan terbuka, dan saya berharap ia dapat diteruskan pada masa hadapan,” tambah Yonnyboii.

Single Bersuara sudah didengar secara rasmi pada 6 Februari lalu disemua platform digital.

Related Articles

Back to top button