TravelViral

Tak Perlu Menunggu Dalam Keadaan Panas, Sistem E-Hailing KLIA Terima Pujian Pelancong

Seorang pelancong dari New Zealand baru-baru ini mencuri perhatian ramai selepas berkongsi pengalaman positifnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sekali gus memuji kemudahan lapangan terbang itu yang mengutamakan keselesaan penumpang.

Sememangnya sering menerima pujian atas seni bina ikonik serta pilihan makanan yang pelbagai, kali ini, KLIA menerima pujian atas kecekapan sistem menunggu Grab dan kenderaan e-hailing di lapangan terbang itu.

Menurut pelancong itu, kawasan pengambilan e-hailing di KLIA kini membolehkan penumpang menunggu di dalam ruang berhawa dingin yang selesa.

Kawasan tersebut dilengkapi sistem kamera pintar yang mengimbas nombor pendaftaran kenderaan yang masuk.

Sebaik sahaja kereta tiba di zon pengambilan, maklumat kenderaan akan dipaparkan pada skrin digital besar di dalam ruang menunggu.

Skrin itu bukan sahaja memaparkan nombor plat kenderaan, malah turut menunjukkan lokasi tepat petak tempat kereta berhenti. Penumpang hanya perlu keluar apabila kereta mereka disahkan sudah menunggu di pintu.

Pengembara tersebut secara berseloroh berkata sistem itu membolehkannya menikmati secawan jagung dengan tenang tanpa perlu risau terlepas kenderaan e-hailingnya.

Tidak lagi perlu mengheret beg berat semata-mata untuk memastikan pemandu dapat mengenal pasti penumpang.

Walaupun kelihatan ringkas, inovasi ini meninggalkan kesan yang besar. Ia membantu mengurangkan kesesakan di tepi jalan, melancarkan proses pengambilan penumpang, serta memberikan keselesaan yang amat diperlukan oleh para pelancong yang mungkin sudah keletihan selepas penerbangan panjang.

Related Articles

Back to top button