
Bekas isteri kepada penyanyi Nubhan, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek telah membuat laporan polis susulan dakwaan barangan peribadinya dipindahkan keluar dari kediaman tanpa sebarang notis atau persetujuan.
Afifah berkata, laporan berkenaan dibuat di Balai Polis Seremban 2, Negeri Sembilan, pada Jumaat berhubung tindakan memasuki rumah yang diduduki di Senawang ketika dia tiada, selain memindahkan barang-barangnya tanpa perbincangan.
Menurut Afifah, laporan dibuat atas nasihat peguamnya selepas merasakan haknya sebagai penghuni dan bekas isteri tidak dihormati.
“Laporan polis sudah dibuat atas nasihat peguam. Nubhan boleh cakap apa sahaja kononnya saya tahu perlu keluar dari rumah itu, tetapi mana buktinya? Tiada tarikh, tiada hitam putih menyatakan rumah itu perlu dikosongkan,” katanya.
Afifah menjelaskan, meskipun rumah berkenaan dibeli atas nama Nubhan seorang, tetap dikira sebagai harta sepencarian memandangkan diperoleh ketika mereka masih bergelar suami isteri.
“Rumah pertama kami dulu pinjaman atas nama berdua sebelum dijual. Rumah kedua pula atas namanya, tetapi itu tetap harta sepencarian mengikut undang-undang.
“Saya berhak tinggal di situ sehingga mahkamah memutuskan perkara tersebut,” ujarnya.
Tambahnya, segala urusan seterusnya diserahkan sepenuhnya kepada peguam syarie yang mewakilinya, Datuk Akberdin Abdul Kadir, untuk tindakan lanjut.
Dalam masa sama, Afifah menegaskan keutamaannya kini adalah kebajikan anak-anak dan masa depan mereka.
“Saya hanya mahu fokus pada anak-anak dan bekerja keras mencari rezeki untuk masa depan kami. Apa sahaja alasan yang diberi hanyalah untuk menghalalkan tindakan yang dibuat,” katanya.
Dalam pada itu, Afifah turut meluahkan rasa kesal dengan cara tindakan diambil tanpa perbincangan, sebaliknya menegaskan segala isu sepatutnya dibincangkan secara profesional melalui saluran perundangan.
“Kalau benar mahu tinggal semula di rumah itu, berbincanglah melalui peguam. Bukan dengan cara bertindak sesuka hati.
“Isu ini bukan soal iddah tamat atau nama rumah, tetapi tentang harta sepencarian dan hak anak-anak,” jelasnya.
Buat masa ini, Afifah memaklumkan dia dan anak-anak tinggal di rumah ibu bapanya sementara menguruskan barangan peribadi yang dipindahkan.
“Semua barang bercampur-campur dalam kotak dan plastik. Ambil masa untuk susun kerana kalau kemas sendiri, kita tahu mana satu barang penting,” katanya.
Terdahulu, peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kadir mengesahkan satu tindakan sivil telah difailkan terhadap Nubhan susulan dakwaan memasuki kediaman tanpa izin, mengeluarkan barangan peribadi dan menukar kunci ketika Afifah berada di luar negara.
Untuk rekod, Nubhan, 39, sah bercerai dengan Afifah pada 2 Disember lalu selepas hampir 10 tahun mendirikan rumah tangga. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, dan Afzan Nayille, 3.



