Gaya HidupTrending

34 Tahun Berpisah, Chef Wan Tetap Jaga Kebajikan Bekas Isteri Hingga Akhir Hayat

Cef selebriti Datuk Chef Wan membuka kisah peribadinya apabila mendedahkan dia kekal menjaga kebajikan bekas isterinya, Allahyarham Norhayati Ayub, serta dua anak mereka selama lebih tiga dekad, meskipun telah berpisah sejak 34 tahun lalu.

Chef Wan menegaskan perceraian bukan alasan untuk melepaskan tanggungjawab, lebih-lebih lagi apabila melibatkan amanah terhadap anak-anak dan bekas pasangan hidup.

“Sewaktu menceraikannya, saya berjanji tidak akan mensia-siakan dia dan anak-anak sampai ke hujung nyawa. Janji itu saya pegang hingga hari ini,” tulisnya dalam sebuah hantaran.

Menurut Chef Wan lagi, sepanjang tempoh tersebut, kebajikan bekas isterinya terus terpelihara, termasuk menyediakan tempat tinggal, memberi elaun bulanan serta memastikan segala keperluan anak-anak dipenuhi walaupun mereka kini sudah berkeluarga dan mempunyai kehidupan sendiri.

Malah, hubungan baik itu bukan hanya terhenti setakat anak-anak, sebaliknya turut melibatkan menantu, cucu-cucu serta bekas mentua yang dianggap sebahagian daripada keluarganya.

“Bekas menantu, cucu-cucu dan menantu yang ada sekarang, termasuk ibu bapa mentua saya yang terdahulu, semuanya saya layan dengan baik.

“Hingga hari ini, saya masih memberi wang sebagai hadiah setiap kali bertemu mereka atau apabila menantu pulang menziarahi keluarga,” kongsinya lagi.

Mengimbau saat perpisahan, Chef Wan mendedahkan dia meninggalkan rumah hanya dengan membawa pakaian dan dua pasang kasut, selain memindahkan sejumlah besar simpanan ke dalam akaun bekas isterinya sebagai jaminan kelangsungan hidup.

“Bekas isteri saya tidak pernah bekerja. Persekolahannya hanya sampai darjah lima kerana hidup dalam serba kekurangan sejak kecil. Sebab itu saya rasa bertanggungjawab memastikan kehidupannya terjamin,” tulisnya lagi.

Walaupun perkahwinan mereka berakhir disebabkan ketidakserasian serta isu cemburu melampau, Chef Wan tetap mengakui bekas isterinya seorang wanita yang baik, lemah lembut dan setia kepada keluarga.

“Perceraian bukan bermakna kita boleh membuang amanah. Anak-anak tetap darah daging kita dan bekas isteri pernah menjadi pasangan hidup kita. Semua itu tidak boleh dipadamkan,” katanya lagi.

Menutup perkongsian tersebut, Chef Wan menyeru pasangan yang bercerai agar memilih jalan memaafkan dan tidak menyimpan dendam kerana itu hanya membebankan emosi sendiri.

“Saya percaya apa yang sudah berlaku, biarlah berlalu. Kita tidak mampu mengubah sejarah. Lebih baik memaafkan daripada menyimpan dendam dan kebencian kerana setiap manusia ada kelemahan serta kisah silam yang dibawa sepanjang hidup,” pesannya.

Allahyarham Norhayati meninggal dunia pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19 akibat kegagalan buah pinggang dan masalah jantung, satu kehilangan yang diakui Chef Wan sangat menyentuh perasaannya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button