Anggun Bengang Dituduh Penyokong Zionis
PENYANYI antarabangsa Anggun C Sasmi, berang apabila ada pihak mula menyebarkan berita palsu dengan mendakwa dia merupakan pendukung kepada rejim Zionis sejak beberapa hari yang lalu.
Bengang dengan tindakan tidak bertanggungjawab pihak terbabit yang cuba memburukkan dirinya melalui akaun sosial media, penyanyi berkenaan menafikan sekeras-kerasnya tuduhan berkenaan yang dilihat bertujuan mahu memburukkan namanya.
“Ada akaun media sosial yang mencemarkan nama baik saya dan menuduh saya sebagai penyokong Zionis. Semuanya kerana ada dua hantaran dari akaun X yang dibuat pada 2015 dan 2016.
“Padahal saya hanya memberikan komen di X semasa pertandingan Eurovison Song Contest yang sedang berlangsung ketika itu. Saya memberikan komen kepada semua peserta dari 42 buah negara bertanding termasuk Israel,” kata penyanyi kelahiran Indonesia ini lagi.
Dia yang juga merupakan nama besar dia Perancis sejak puluhan tahun lalu menambah komen yang ditulis itu dijadikan kandungan di TV penyiar yang merupakan format penjurian rancangan tersebut.
Tambah memanaskan keadaan apabila namanya sekali lagi dipetik oleh akaun palsu berkenaan ketika dia mewakili Perancis sebagai juri pada 2023.
“Dalam hantaran tang sama mereka menulis saya memberikan komen kepada peserta dari Israel dalam program Eurovision Song Contest yang disiarkan secara langsung di TV.
“Saya memberikan komen kepada lagu dan peserta yang bertanding termasuk dari Israel. Tetapi itu tidak membuatkan saya menjadi pendukung kepada politik Israel.
“Saya bercakap dalam konteks muzik tapi tulisan mereka membuatkan saya menjadi sasaran kebencian,” katanya yang popular dengan lagu Mimpi.
Tidak mahu duduk diam, dia akan membawa kes berkenaan ke mahkamah sebagai langkah untuk membersihkan namanya.
Sebagai info, Anggun, 51, memulakan langkah dalam bidang seni pada 1986 dan pada 1994 dia memulakan karier muzik di London dan kemudian aktif di Perancis sehingga ke hari ini.