Aliff Aziz, Ruhainies Mengaku Salah Berkhalwat
Pasangan selebriti, Aliff Aziz dan Ruhainies mengaku bersalah atas pertuduhan khalwat dan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekituan pada 21 Februari lalu.
Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan berkata, pasangan yang ditahan tahun lalu itu telah menukar pengakuan kepada bersalah.
Pada 3 Julai tahun lalu, Aliff, 33, dan Ruhainies, 31, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.
“Pada tarikh sebutan lepas iaitu pada 17 Oktober tahun lalu, ditetapkan tarikh 20 dan 27 Februari lalu untuk sambung bicara selepas kedua-duanya mengaku tidak bersalah.
“Bagaimanapun, peguam syarie tertuduh melalui surat bertarikh 18 Februari lalu memaklumkan kedua-dua anak guam berhasrat untuk menukar pengakuan dan memohon kepada pihak Mahkamah untuk pindaan tarikh pada 21 Februari.
“Selepas pertuduhan dibacakan semula dan kedua-duanya menukar pengakuan kepada bersalah. Atas pengakuan bersalah itu, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah mensabitkan kesalahan ke atas kedua-keduanya dan menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda,” katanya.
Terdahulu, Aliff dan Ruhainies masing-masing dituduh di bawah seksyen 27 (a) dan 27 (b) Akta Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta559], atas kesalahan berkhalwat.
Pada 20 Jun tahun lalu, Aliff dan Ruhainies hadir di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di sini, bagi proses lanjutan bon jamin terhadap kes khalwat mereka yang berlaku di sebuah kondominium mewah di ibu negara.
Tangkapan dibuat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) adalah berdasarkan maklumat awam berlaku pada 9 Mac tahun lalu.