‘Waktu PKP Ayah Kena Strok, Sweet Qismina Hulurkan Bantuan’

Selepas ibu kepada pelakon Puteri Balqis meluahkan rasa kagum terhadap peribadi Sweet Qismina, 27, satu perkongsian daripada seorang individu menarik perhatian ramai apabila mendedahkan pengalaman peribadi berhubung sikap baik aktres tersebut.
Individu berkenaan menyifatkan pemilik nama sebenar Farhanna Qismina Supandi sebagai seorang yang lemah lembut, berbudi bahasa serta amat menghormati golongan lebih berusia.
Menurutnya, kedua-dua ibu bapanya pernah berurusan secara langsung dengan pelakon filem Babah itu ketika menjalani penggambaran di kediaman mereka dan layanan yang diberikan sangat menyenangkan.
“Nak kongsi sikit tentang Sweet. Memang betul dia seorang yang baik dan tutur katanya dengan orang tua sangat sopan. Jelas didikan yang diterimanya sangat sempurna.
“Arwah ayah dan ibu saya dilayan dengan baik sepanjang penggambaran drama di rumah kami,” kongsinya dalam sebuah hantaran.
Katanya lagi, kebaikan Sweet bukan sekadar ditunjukkan ketika bekerja, malah berlanjutan di luar set penggambaran.
Sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19, pelakon itu turut menghulurkan bantuan kepada arwah bapanya yang ketika itu sedang berdepan masalah kesihatan selepas diserang strok.
“Waktu PKP, arwah ayah kena strok dan Sweet juga yang menghulurkan sumbangan. Memang dia seorang yang sangat baik,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, ibu kepada Puteri Balqis, Norashikin Mohd Aziz turut tampil memuji keperibadian Sweet yang dikatakan mengambil inisiatif menghubungi anaknya secara peribadi untuk memberikan sokongan moral.
Tindakan itu dilakukan selepas Sweet mengetahui luahan Puteri Balqis mengenai pengalaman silamnya sebagai pelakon kanak-kanak yang pernah menjadi mangsa buli di lokasi penggambaran, sekali gus mencerminkan keprihatinan dan keikhlasan aktres berkenaan.



