
Mahu menunaikan tanggungjawab sosial disamping terus menghargai jasa dan pengorbanan mereka yang telah pergi merupakan antara agenda penting yang dilaksanakan oleh Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) sejak dahulu.
Seniman bekerjasama dengan syarikat Hayat Fitrah Enterprise dan MJCRAF Enterprise telah membuat pemasangan batu nisan dan kepuk Allahyarham Sheqal yang disempurnakan pada 18 Januari lalu di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kemuning, Raub, Pahang.
Menurut Bendahari Seniman, Zarina MN, usaha ini dilakukan sebagai kerjasama perdana bersama pihak terbabit selain mahu menghargai jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh mereka ke dalam bidang seni tanah air.
“Pihak kami bersyukur apabila dapat menyempurnakan pemasangan batu nisan dan kepuk untuk Allahyarham Sheqal baru-baru ini. Alhamdulillah, keluarga memberikan keizinan kepada pihak kami untuk menyempurnakan sumbangan ini.
“Kami sendiri turun ke Raub dan berjumpa dengan ahli keluarga Allahyarham bagi meneruskan kesinambungan yang dilakukan sejak beberapa tahun yang lalu,” kata Zarina yang hadir ke Raub mewakili Seniman.
Allahyarham Sheqal atau nama sebenarnya Shahahrin Salehuddin merupakan antara penyanyi terkenal 1990-an dan telah meninggal dunia pada 17 Jun lalu akibat jangkitan kuman paru-paru.

Selain Sheqal, beberapa nama besar yang lain turut menerima sumbangan yang sama termasuklah Abam Bocey, Pit Haniff, Datuk M Daud Kilau, Hamdan Senario, Jay Jay dan Datuk Hail Amir.
Mereka juga bakal memasang batu nisan dan kepuk di kubur pelakon Daddy Rock yang meninggal dunia pada 8 Disember tahun lalu.
Tidak tertumpu kepada golongan anak seni, sumbangan turut diberikan kepada mangsa kapal terbang terhempas di Elmina, Selangor pada 2023 dan mangsa tragedi helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) 2024.
“Pihak Seniman gembira dapat menunaikan tanggungjawab sosial kepada sebahagian ahli-ahli yang telah pergi buat selama-lamanya. Jasa dan pengorbanan mereka amat kami hargai dan akan dikenang sampai bila-bila.
“Insya-Allah, sekiranya ada kerjasama yang baik dengan pihak terbabit, kita akan meneruskan agenda ini pada masa hadapan,” kata Zarina lagi.



