
Isteri kepada pelawak Shamsul Ghau Ghau, Sharifah Azrinah Syed Ibrahim mengakui hampir hilang harapan apabila dimaklumkan kos pembedahan yang perlu ditanggung bagi rawatan suaminya yang mengalami pendarahan beku di otak.
Begitu pun, keprihatinan rakan-rakan dan orang ramai yang tampil menghulurkan bantuan sedikit demi sedikit menguatkan semangatnya, selain bantuan signifikan daripada pihak Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Serdang yang memberikan pengecualian bayaran sebanyak RM10,000.
Menurut Sharifah Azrinah, pengecualian tersebut menjadikan jumlah kos pembedahan hanya RM15,000 dan pembedahan berjaya dilaksanakan di hospital berkenaan semalam.
“Pada mulanya, saya dimaklumkan deposit sebanyak RM25,000 diperlukan dan jika berlaku apa-apa dalam prosedur pembedahan itu, mungkin kos akan cecah RM35,000 hingga RM40,000.
“Saya terduduk dan hampir putus asa. Apatah lagi, hujung minggu, bagaimana hendak keluarkan simpanan. (Pelakon) Sheila Mambo kemudian beritahu mahu tolong dan hendak viralkan keadaan suami yang perlu dibedah.
“Sheila banyak bagi semangat kepada saya. Kemudian, seorang demi seorang hamba Allah hulur bantuan seperti Pencetus Ummah (PU) Salman, Imam Muda Ashraf dan sebagainya.
“Mungkin sebab mereka pandang kebaikan Pak Su (panggilan untuk Shamsul), jadi ramai yang hulurkan bantuan supaya pembedahan dapat dilakukan semalam,” katanya.
Sharifah Azrinah turut meluahkan rasa syukur apabila pihak hospital sudi membantu meringankan beban kewangan, sekali gus membatalkan hasrat untuk memindahkan Shamsul ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Hospital ada peruntukan untuk kebajikan pesakit. Selepas saya ditemubual, pengurusan bersetuju menanggung RM10,000 daripada kos pembedahan. Jadi, saya perlu cari kos RM15,000 sahaja,” katanya lagi.
Menurut Sharifah, hasil sumbangan rakan-rakan serta individu prihatin membolehkan pembedahan membuang darah beku di otak suaminya berjalan lancar seperti dirancang.
“Tolong sampaikan terima kasih saya daripada anak-anak dan Pak Su kepada semua orang, tidak kisahlah siapa. Terutama Imam Muda Ashraf, Sheila yang selalu bersama dan telefon.
“Alhamdulillah dari semalam saudara-mara dan kawan-kawan Pak Su ramai datang melawat. Sampai tengah malam tadi, tidak putus-putus orang datang ziarah biarpun tidak dibenarkan masuk ke wad,” katanya.
Mengulas keadaan terkini Shamsul, Sharifah memaklumkan suaminya kini berada dalam keadaan stabil, namun masih memerlukan pemantauan rapi dalam tempoh 48 jam selepas pembedahan.
“Doktor cakap dalam tempoh 90 hari yang pertama, kena pantau Pak Su. Suami perlu ikuti sesi fisioterapi. Jadi, saya minta doa semua orang. Kita pun tidak tahu bagaimana keadaan Pak Su selepas ini,” katanya seperti dilapor BH.



