“Anak-Anak Hanya Dibenarkan Guna Telefon Bimbit Hujung Minggu”

Pelakon dan pengacara, Scha Alyahya menyokong pendirian pasangan usahawan, Datuk Seri Aliff Syukri dan Datin Seri Nur Shahida yang tegas melarang pembantu peribadi (PA) lelaki daripada menyentuh anak perempuan mereka sewenang-wenangnya.
Menurut Scha, ibu bapa perlu memainkan peranan utama dalam menetapkan batas pergaulan anak-anak sejak usia awal, khususnya bagi melindungi anak perempuan daripada sebarang pengaruh negatif persekitaran.
Jelasnya, pendekatan sama turut diamalkan bersama suami, Awal Ashaari dalam mendidik anak-anak mereka agar sentiasa memahami batas dan adab dalam pergaulan seharian.
“Naluri seorang ibu membuatkan saya sentiasa berwaspada dalam setiap aspek kehidupan anak-anak, walaupun kadang-kadang dianggap terlalu berfikir. Namun bagi saya, sikap berhati-hati itu sangat penting.
“Penetapan batasan sejak awal sangat penting supaya anak-anak tahu apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Ia bukan untuk menyekat, tetapi untuk melindungi dan membentuk jati diri mereka”, katanya.
Selain aspek pergaulan, Scha turut menekankan kepentingan pemantauan penggunaan teknologi dan media sosial dalam kalangan anak-anak, yang menurutnya diberi perhatian serius oleh suaminya.
Katanya, dia kerap memantau kandungan tontonan, aplikasi serta perbualan anak-anak melalui peranti digital yang digunakan bagi memastikan semuanya bersesuaian dengan usia.
Jika terdapat kandungan yang dirasakan tidak sesuai, Scha akan memberi nasihat dan penjelasan secara terbuka supaya anak-anak memahami sebab sesuatu larangan dibuat tanpa menimbulkan salah faham.
Dalam masa sama, Scha turut menetapkan peraturan ketat berkaitan penggunaan peranti digital di rumah termasuk menghadkan masa skrin.
“Anak-anak hanya dibenarkan menggunakan telefon atau iPad pada hujung minggu sahaja dan tanpa akses ke media sosial. Aplikasi yang dibenarkan pula bersifat pembelajaran dan kreatif seperti Canva dan Pinterest, selain kegunaan untuk kerja sekolah,” jelasnya lagi.
Scha mengakui teknologi tidak dapat dielakkan sepenuhnya dalam kehidupan masa kini kerana kanak-kanak terdedah kepada peranti digital di sekolah dan persekitaran harian.
Justeru, dia percaya peranan ibu bapa adalah membimbing dan menanam kefahaman agar anak-anak mampu menggunakan teknologi secara bijak, bertanggungjawab serta memahami batas yang perlu dijaga.
Terdahulu, Aliff Syukri dan Nur Shahida mendedahkan mereka telah beberapa kali memberi amaran kepada pembantu peribadi lelaki agar tidak memegang atau menyentuh anak perempuan mereka, walaupun sekadar bergurau.
Situasi menjadi tegang apabila perkara tersebut masih berlaku di hadapan mata, sekali gus mencetuskan kemarahan Aliff yang menganggap isu berkenaan bukan perkara kecil dan tidak wajar dipandang ringan.



