Gaya HidupTrending

‘Baru Tahu Ada Baju Bayi Saiz Kosong Tahun’

Pelakon, Qi Razali, 48, teruja menantikan kehadiran cahaya mata sulungnya yang dijangka dilahirkan pada penghujung bulan Januari selain mengakui sudah membuat persiapan rapi termasuk memikirkan beberapa nama untuk anaknya.

Pemilik nama sebenar Qushairi Mohammed Razali, berkata dia cenderung memilih nama berunsur Melayu klasik kerana mahu mengekalkan nilai asal-usul dan tradisi keluarga, walaupun turut mempertimbangkan beberapa nama moden sebagai alternatif.

Menurutnya, segala keperluan asas bayi sudah pun disediakan, termasuk lampin, sabun bebas bahan kimia serta katil bayi. Malah, bilik khas untuk bayi juga telah disiapkan lebih awal.

“Bila mula buat persediaan, baru saya tahu baju bayi pun ada saiz paling kecil yang dipanggil saiz kosong tahun. Banyak perkara baharu yang saya pelajari.

“Saya dan isteri sudah pun memikirkan beberapa nama untuk anak kami. Saya suka nama yang ada unsur klasik dan Melayu,” katanya.

Mengenai pemilihan nama, pelakon filem Babah itu berkata keluarganya sejak turun-temurun menggunakan nama Melayu, justeru dia mahu kesinambungan itu diteruskan.

Dalam masa sama, Qi mengakui banyak mendapatkan pandangan dan nasihat daripada rakan-rakan terdekat mengenai persediaan menjadi seorang bapa, khususnya berkaitan penjagaan bayi dan sokongan kepada isteri selepas bersalin.

“Ramai yang bergurau soal mata panda sebab berjaga malam. Saya faham kenapa suami perlu ambil peranan lebih pada awalnya kerana isteri perlukan rehat.

“Jadi, saya bersedia dari segi mental walaupun hakikatnya tengok bola separuh masa pun kadang-kadang tak larat,” katanya lagi.

Qi menegaskan keutamaannya adalah memastikan keselesaan isteri dan anak, selain mahu melalui fasa baharu ini dengan sebaik mungkin.

Menurut jangkaan awal doktor, bayi yang bakal dilahirkan itu berkemungkinan perempuan, namun Qi berkata dia dan isteri bersyukur dan terbuka menerima apa jua ketentuan, sama ada lelaki mahupun perempuan.

Untuk rekod, Qi mendirikan rumah tangga dengan Wardah Hayati pada Mei tahun lalu.

Related Articles

Back to top button