BeritaMusic

Noh Salleh Selamat Jalani Pembedahan Tulang Berhampiran Pita Suara

Penyanyi utama kumpulan Hujan, Noh Salleh, 40, bersyukur apabila pembedahan tulang belakang yang dijalaninya di Pusat Pakar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKMSC) selamat dilakukan meskipun berdepan risiko besar terhadap pita suaranya.

Noh menjelaskan, pembedahan tersebut terpaksa dilakukan bagi merawat masalah tulang belakang di bahagian tengkuk, C6 dan C7, yang menyebabkan saraf terhimpit sehingga mengakibatkan kebas tangan serta sakit belakang kronik.

“Selesai pembedahan semalam di UKMSC. Masalah tulang belakang bahagian tengkuk C6 dan C7 yang menyebabkan saraf terhimpit, tangan kebas dan sakit belakang kronik sampai mengganggu pergerakan, termasuk mengangkat baby Tara.

“Proses pembedahan berjalan lancar dan dikendalikan Prof Datuk Dr Mohd Hisam Muhamad Ariffin. Yang buat tak best adalah lokasi pembedahan betul-betul di belakang pita suara saya, risikonya besar kepada organ yang menjadi punca rezeki,” kongsinya dalam sebuah hantaran.

Walaupun berdepan kebimbangan besar, Noh bersyukur apabila segala urusan dipermudahkan.

“Tapi Allah jaga. Alhamdulillah. Mohon kawan-kawan doakan agar proses penyembuhan dipermudahkan dan kembali normal secepat mungkin,” tulisnya.

Dalam perkongsian sama, Noh turut mengakui berasa risau memikirkan komitmen kerja yang masih menanti.

“Risau? Ya. Sebab ada persembahan Sabtu ini,” tulisnya ringkas.

Noh turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada ahli keluarga serta rakan-rakan yang sentiasa berada di sisinya sepanjang tempoh rawatan.

“Terima kasih tak terhingga kepada semua yang mendoakan, keluarga dan rakan-rakan. Terima kasih Abah yang menghantar dan mengambil saya. Terima kasih Mummy dan Yaya yang menjaga Tara dan Athira di rumah.

“Budak-budak Hujan Band dan Suffren, terima kasih kerana datang memberi kejutan. Terima kasih juga UKM Specialist Centre yang menjaga saya,” kongsinya.

Menurut Noh lagi, dia sebenarnya tidak bercadang untuk berkongsi perkara tersebut kepada umum, namun keadaan berubah selepas rakan seperjuangannya, AG Coco, memuat naik foto ketika melawatnya di hospital.

“Sebenarnya malas nak cerita, tapi AG kongsi foto dia melawat saya. Saya pula penat nak jawab satu persatu,” katanya.

Related Articles

Back to top button