
Syarikat rakaman dan agensi bakat SM Entertainment mencuri perhatian ramai selepas mengambil tindakan tegas terhadap aktiviti dalam talian berniat jahat yang menyasarkan artis-artis syarikat itu, termasuk mendedahkan beberapa akaun X milik individu yang didakwa terlibat sambil meneruskan aduan jenayah.
Menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan, SM Entertainment mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang berulang kali memuat naik kandungan berniat jahat terhadap artis mereka.
Beberapa pengguna X didapati menyebarkan maklumat palsu secara berterusan, melakukan fitnah, gangguan seksual, serangan peribadi, penghinaan serta pencerobohan privasi.
Apa yang membezakan pengumuman ini ialah keputusan SM untuk secara terbuka menyenaraikan nama samaran dan ID akaun X yang terlibat.
Berdasarkan laporan yang diterima melalui saluran aduan peminat KWANGYA 119 serta pemantauan dalaman mereka sendiri, pihak SM Entertainment telah meneliti kandungan hantaran dan imej yang dilampirkan dengan teliti.
Hasilnya, SM Entertainment mengenal pasti aktiviti jenayah yang dikaitkan dengan sebanyak 11 akaun yang secara berterusan menyasarkan kumpulan aespa, RIIZE dan NCT WISH.
SM Entertainment juga telah memfailkan aduan rasmi kepada pihak berkuasa penyiasatan dengan kerjasama firma guaman Shin & Kim LLC (Sejong), sambil menegaskan yang tindakan ini bukan sekadar amaran, tetapi langkah undang-undang yang konkrit.
Selain kes ini, pihak SM Entertainment sedang meneliti hantaran berniat jahat di pelbagai platform media sosial melibatkan artis mereka yang lain.
“Skop tindakan undang-undang akan terus diperluaskan,” kata SM Entertainment,
Dalam masa sama, mereka akan bertindak tanpa kompromi terhadap penyebaran khabar angin palsu, penghinaan seksual serta penciptaan dan pengedaran kandungan deepfake di platform utama termasuk X, DC Inside, Naver, Daum Cafes, Instagram, YouTube dan TikTok.
“Pada 2026 juga, kami akan terus mengambil pendirian tegas dengan perlindungan hak artis sebagai keutamaan utama,” ujar mereka.
Sumber: Allkpop



