Dua Warga Bangladesh Ditahan Tawar Teksi Haram Di KLIA
Seorang warga asing ditahan selepas didapati menawarkan perkhidmatan teksi haram dan memaksa sekumpulan pelancong di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.
Maklumat serta gambar kejadian itu dikongsikan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor di laman Facebook rasmi mereka.
Menurut kapsyen hantaran tersebut, lelaki warga Bangladesh itu didakwa telah memujuk, memaksa dan menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada tujuh penumpang dari Brunei dari KLIA Terminal 1 ke hotel mereka berhampiran Suria KLCC.
Dia turut memaklumkan yang mereka dikenakan caj sebanyak RM250 untuk perjalanan itu, yang perlu dibayar setelah tiba di destinasi.
Bagaimanapun, perjalanan itu tidak sempat bermula apabila lelaki Bangladesh tersebut ditahan oleh pegawai JPJ kerana menawarkan perkhidmatan teksi haram.
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, lelaki itu memaklumkan kepada pegawai yang dia telah bekerja sebagai pemandu teksi haram sejak setahun lalu menggunakan kenderaan milik bapanya.
Dia turut didapati sebagai pesalah berulang kerana pernah dua kali ditangkap atas kesalahan sama.
Sementara itu, seorang lagi pemandu teksi haram, juga warga Bangladesh, turut ditahan kerana menawarkan perkhidmatan teksi tidak sah kepada dua pelancong dengan caj RM140.
“Suspek telah ditahan sebanyak tiga kali sebelum ini dan mengaku menawarkan perkhidmatan teksi haram sejak beberapa tahun menggunakan kenderaan persendirian yang disewa.
“Sebuah kereta Proton Waja turut disita dalam penahanan itu,” kata Azrin.
Di bawah Seksyen 205 (1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010), mereka yang bertindak sebagai pemandu teksi haram boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000, penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya.
Bagi individu yang bersubahat, mereka juga boleh didakwa di bawah Seksyen 243(1) akta yang sama.
Azrin turut mengingatkan orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan yang sah melalui kaunter di KLIA Terminal 1 dan 2 atau dengan membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing.
Aduan juga boleh dihantar ke aduantrafik@jpj.gov.my atau melalui platform e-aduan@JPJ bersama butiran dan maklumat berkaitan.
