“Aaisyah Awak Jadi Ustazah, Jangan Jadi Pelakon Atau Penyanyi”

Pelakon dan usahawan, Rozita Che Wan, 53, berharap anak perempuannya, Aaisyah Dhia Rana tidak memilih bidang hiburan sebagai kerjaya pada masa hadapan.
Menurut Rozita atau lebih dikenali sebagai Che Ta, dia lebih selesa sekiranya Aaisyah memilih bidang yang mampu menjamin kehidupan lebih stabil seperti menjadi usahawan atau pendakwah wanita.
“Mummy bagi penampar nanti. Jangan nak jadi pelakon atau penyanyi. Tak ke mana pun jadi pelakon atau penyanyi, hujung-hujung mak awak ini kena berniaga juga,” katanya dalam sebuah hantaran video.
Tambah Che Ta, dia sebenarnya mahu anak perempuannya itu menjadi seorang pendakwah kerana merasakan kerjaya tersebut lebih menenangkan hati sebagai ibu bapa.
“Jadi ustazah, kalau tak mahu, jadi usahawan wanita yang berjaya. Saya mahu awak jadi ustazah. Jadi ustazah sejuk sikit perut mommy dengan daddy.
“Tak payah jadi artis, mommy dengan daddy sudah lalui, hujung-hujung kena cari cabang lain demi meneruskan kehidupan yang selesa,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Aaisyah dilihat membalas kenyataan ibunya itu secara berseloroh apabila mengatakan setiap individu berhak menentukan hala tuju kehidupan sendiri.
“Ini perjalanan hidup saya, bukan Mummy. Mummy tidak boleh beritahu apa yang saya perlu buat atau mahu jadi,” katanya sambil bergurau.



