“Boleh Tak Jadi Ayah Saya Juga?”

Pelakon, Nabila Huda, 41, tersentuh hati melihat hubungan erat antara beberapa selebriti lelaki dengan anak-anak mereka sehingga membuatkan dirinya teringin merasai kasih sayang seorang bapa.
Nabila berkata setiap kali melihat momen bahagia yang dikongsi oleh golongan bapa di media sosial, dia secara tidak langsung turut tersenyum dan membayangkan perasaan memiliki hubungan sedemikian.
“Kadang-kadang bila buka Instagram, ternampak penyanyi atau pelakon lelaki yang sudah jadi ayah, terutama artis senior yang saya ikuti.
“Melihat bagaimana manisnya hubungan mereka dengan anak, pelukan dan kasih sayang, tiba-tiba kita pula tersenyum sendiri,” tulisnya dalam sebuah hantaran.
Menurut anak kepada penyanyi lagenda, Datuk Amy Search itu, melihat kasih sayang yang dicurahkan seorang ayah kepada anak-anak kadangkala memberi kesan mendalam terhadap emosinya.
“Adakalanya rasa lucu melihat seseorang disayangi dengan cara yang sepatutnya.
“Mampu menyentuh hati saya sehingga terlintas dalam hati, boleh tak awak jadi ayah saya juga?” luahnya.
Perkongsian tersebut turut mengundang perhatian ramai netizen yang bersimpati selain mendoakan agar hubungan keluarga pelakon itu kembali pulih suatu hari nanti.
Terdahulu, hubungan Nabila dengan bapanya dilaporkan kembali dingin sejak tahun lalu dipercayai berpunca daripada campur tangan pihak ketiga.
Bagaimanapun, Nabila sebelum ini pernah menjelaskan dia sudah berusaha untuk memperbaiki hubungan mereka namun masih belum menemui jalan penyelesaian.
Nabila juga berpendapat bapanya seharusnya memainkan peranan penting dalam meredakan kemelut yang berlaku antara mereka ketika ini.



