“Walaupun Rezeki Masuk, Jiwa Tetap Kosong”

“Walaupun Rezeki Masuk, Jiwa Tetap Kosong”

Pelakon, Kamal Adli, 39, mengakui 2025 bukanlah tahun yang mudah buat dirinya, meskipun rezeki seni terus mengalir tanpa putus.

Di sebalik jadual kerja yang padat, Kamal berkata, limpahan rezeki itu sedikit sebanyak mengurangkan tekanan, namun tidak cukup untuk menutup kekosongan yang dirasai dalam diam.

“Alhamdulillah, cuma 2025 adalah tahun duka saya sebenarnya. Tahun berat untuk saya. Saya terus bekerja tanpa henti. Dalam saya melalui tempoh sukar, Allah bagi juga sedikit rezeki untuk buat saya senyum.

“Tapi saya tetap perlu teruskan. Saya seorang-seorang di rumah, itu yang buat semuanya terasa berat,” katanya.

Tambah Kamal, ada perkara peribadi yang tidak mampu dan tidak wajar dikongsi kepada umum, namun cukup besar untuk memberi kesan kepada kestabilan emosinya.

“Susah sebenarnya sebab saya seorang. Saya seorang kat rumah dan perkara itu tak seronok.

“Kalau tak shooting saya rasa habis saya kat rumah tu kan. Mungkin saya akan mula melukis gambar kat dinding kan. Saya tiba-tiba belajar memasak ke.

“Ada benda orang tak tahu dan saya tak perlu kongsi. Memang susah sebenarnya. Walaupun rezeki masuk, jiwa tetap kosong. Ini soal hati,” ujarnya.

Sebelum ini, rumah tangga Kamal menjadi perhatian selepas isterinya, Uqasha Senrose, memfailkan permohonan cerai pada 1 Oktober lalu atas alasan tiada persefahaman.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang kini berusia 19 bulan.

Related post

Leave a Reply