Ibu Dakwa Sekolah Lepas Tangan Lepas Anak Cedera Akibat Eksperimen Sains Meletup

Ibu Dakwa Sekolah Lepas Tangan Lepas Anak Cedera Akibat Eksperimen Sains Meletup

Seorang ibu tampil di media sosial menuduh sebuah sekolah gagal bertanggungjawab dan enggan memberikan penjelasan selepas anak perempuannya mengalami kecederaan pada muka dan mata akibat eksperimen Sains yang tidak menjadi.

Akibat insiden tersebut, pelajar perempuan berkenaan mengalami luka di bahagian muka dan mata yang menurut doktor, berkemungkinan besar akan meninggalkan parut kekal.

Dalam hantaran di Facebook, ibu berkenaan menulis, kejadian berlaku pada 11 September lalu ketika anaknya sedang menjalankan eksperimen Sains di sekolahnya di Puchong.

Menurut laporan perubatan yang dikongsikan bersama hantaran sama, pelajar tersebut mengalami kecederaan di bahagian sekitar mata dan pangkal hidung selepas gelas bikar yang digunakan dalam eksperimen tersebut meletup.

Selain muka dan mata, pelajar itu turut mengalami luka di kedua-dua lengannya.

Doktor yang merawatnya memaklumkan, walaupun luka telah sembuh, parut kekal dijangka akan kekal pada wajahnya.

Pihak sekolah dalam kenyataan mengesahkan insiden itu dan menyatakan rasa kesal, sambil menegaskan yang mereka memandang serius perkara tersebut dan akan menjalankan siasatan menyeluruh.

Namun, pihak sekolah turut menasihatkan ibu bapa agar tidak berkongsi berita atau gambar berkaitan kejadian itu di media sosial, kononnya bagi mengelakkan penyebaran persepsi negatif terhadap sekolah.

Dalam tempoh dua bulan berikutnya, ibu berkenaan membawa anaknya menjalani pembedahan mata di hospital serta membuat laporan polis, dengan harapan pihak sekolah akan bertindak secara bertanggungjawab.

Namun, selepas dua bulan berlalu, pihak sekolah masih belum memberikan penjelasan rasmi dan hanya menawarkan pampasan berupa pengecualian yuran sebulan, bayaran perubatan enam bulan, serta wang RM5,000.

Lebih mengejutkan, Kementerian Pendidikan (KPM) kemudian memaklumkan bahawa sekolah berkenaan sebenarnya tidak berdaftar secara rasmi dengan kementerian.

Susulan pendedahan itu, ibu tersebut kini menuntut penjelasan daripada pihak sekolah berhubung beberapa perkara penting, termasuk:
-Sama ada standard keselamatan dipatuhi semasa eksperimen dijalankan
-Sama ada terdapat prosedur eksperimen rasmi dan penyeliaan sewajarnya
-Sama ada sekolah segera memaklumkan ibu bapa dan menghantar anak ke hospital selepas kejadian
-Sama ada sekolah berdaftar dan berada di bawah seliaan KPM

Ibu berkenaan turut menegaskan, tujuannya menulis hantaran itu bukan untuk menyerang sesiapa, tetapi untuk menuntut keadilan.

“Kecederaan anak saya bukan sesuatu yang boleh diselesaikan dengan wang. Apa yang saya mahu hanyalah keselamatan, tanggungjawab, penjelasan dan pencegahan.

“Saya menulis ini sebagai seorang ibu yang, selepas dua bulan, masih belum mendapat jawapan sewajarnya walaupun melihat parut di wajah anak sendiri setiap hari,” katanya.

Sehingga kini, pihak sekolah belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan tersebut.

Sumber: Facebook

Related post

Leave a Reply