Trending

“Ayah Doakan Hawra Jadi Anak Solehah”

Ucapan hari jadi yang dititp pelakon Kamal Adli buat anaknya, Hawra Uqaira yang kini genap usia dua tahun mencuri perhatian ramai.

Kamal memuat naik sebuah video kompilasi memaparkan detik-detik awal kelahiran Hawra sehinggalah perkembangan terkininya.

Rakaman tersebut bukan sahaja mengimbau kenangan manis, malah turut menyentuh hati kebanyakan netizen.

Apa yang turut menjadi perhatian apabila wajah bekas isterinya, aktres Uqasha Senrose turut dikongsikan dalam video berkenaan.

Dalam kapsyennya, Kamal meluahkan rasa rindu serta memohon maaf kerana tidak dapat bersama anaknya pada hari istimewa itu disebabkan tuntutan kerja.

“Simpan sini. Selamat ulang tahun kedua sayang. Maaf ayah tiada bersama masa hari jadi Hawra. Ayah cari rezeki jauh sikit, itu yang Allah bagi. Ayah sayang dan rindu sangat pada Hawra.

“Tahun ini sedikit berbeza daripada sebelumnya, tapi ayah sentiasa doakan Hawra membesar jadi anak solehah, bijak dan sihat.

“Terima kasih kepada ibu yang melahirkan dan menjaga Hawra. Hanya Allah mampu membalasnya,” tulisnya dalam sebuah hantaran.

Menjengah ke ruangan komen, ramai yang mengakui tersentuh dengan keikhlasan luahan tersebut, terutama apabila Kamal tetap menyelitkan penghargaan buat bekas isterinya walaupun mereka sudah tidak lagi bersama.

Ada yang memuji sikapnya yang matang sebagai seorang bapa, selain menyifatkan tindakan itu sebagai contoh hubungan baik demi anak walaupun selepas perpisahan.

Terdahulu, Kamal dan Uqasha disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 12 Januari lalu.

Related Articles

Back to top button